Keluhan hati ZAMANI dalam ADUH

Penyanyi bersuara emas, Zamani kini hadir dengan single terbaharu berjudul Aduh.

Lagu hasil ciptaan Zamani bersama Faizal Tahir, Adib Hussin, Mike Chan, Romeo dan Karim Karam ini berkonsep pop kontemporari memberikan nafas baru kepada penyanyi yang sinonim dengan rentak pop balada ini.

Walaupun kali ini tampil berbeza dari kebiasaan, kemampuan Zamani untuk menghembuskan jiwa ke dalam lagu ini dengan kelunakan vokal dan penghayatannya adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal.

Apatah lagi apabila senikata lagu ini bercerita tentang keluhan hati akibat cinta tidak kesampaian, suatu kisah yang mungkin bakal dikaitkan dengan pelantun lagu ini sendiri.

Cubaan Zamani membawakan lagu berunsur kontemporari ini bakal memberikan sajian telinga dan perspektif yang berbeza buat penggemar tegar Zamani.

Penyanyi berusia 48 tahun ini mula mencipta populariti bersama kumpulan Slam menerusi lagu-lagu hits mereka, antaranya ‘Kembali Terjalin’, ‘Gerimis Mengundang’ dan ‘Tak Mungkin Berpaling’. Kali terakhir Zamani menerbitkan single pada tahun 2016 menerusi lagu ‘Tambatan Hati’.

Zamani menyifatkan Aduh sebagai hadiah istimewa buat peminatnya yang tidak jemu menyokongnya selama ini. 

Zamani turut berharap agar taruhan terbarunya ini mendapat sambutan positif pendengar muzik tempatan.

Aduh merupakan single terbitan Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar. Single Aduh boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 1 MAC 2019.

Ruang komen
URTV
News Reporter
error: Content is protected !!