Kalau mereka nak bandingkan, itu terserah pada mereka – Sean LJE

Foto: Zulfaiz Zakaria

Pengacara dan pelakon, Sean LJE yang akan muncul sebagai hos bersama Shuk dalam program I Can See Your Voice Malaysia musim kedua (ICSYVMY2) akui dia sudah bersedia jika ada pihak yang akan membandingkan dirinya dengan pengacara musim terdahulu, Alvin Chong.

“Setiap orang masing-masing ada kekuatan tersendiri. Sebagai pengacara, saya perlu membawa rancangan itu menjadi lebih menarik dan membuatkan penonton terhibur.

“Tugas ini bukannya satu pertandingan siapa lebih baik. Tidak adil untuk membuat perbandingan antara saya dengan pengacara terdahulu.

“Tapi mulut orang saya tak boleh halang. Kalau mereka nak bandingkan, itu terserah pada mereka. Apa yang penting adalah saya lakukan yang terbaik,” cerita Sean.

Sean dan Shuk bergandingan sebagai hos dalam I Can See Your Voice Malaysia musim kedua

Tambah Sean, dia amat seronok dan rasa amat berbangga dapat bekerjasama dengan Shuk dalam ICSYVMY2 yang akan mula bersiaran mulai 23 Jun ini pada setiap Ahad pukul 9.00 malam di TV3.

“Bekerja dengan Shuk memang seronok dan sangat havoc. Dia tak pernah diam, ada sahaja benda yang ingin dia cakap. Semua benda boleh jadi kelakar bagi dia dan kita akan rasa gembira bila bersama dia.

“Saya amat mengagumi dia sebagai seorang pengacara. Saya banyak belajar dan dia tak kedekut ilmu memberi pengetahuan serta tips untuk menjadi seorang pengacara yang baik. Kalau boleh saya ingin mencapai tahap sepertinya. Tapi saya perlu bekerja keras lagi,” kata Sean.

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!