Jual lagu dalam bentuk cd, ESTRANGED mahu bantu salur bekalan elektrik di Borneo

Kumpulan Estranged kini muncul dengan single terbaharu berjudul Milikku hasil nukilan kumpulan Estranged sendiri manakala lirik pula ditulis oleh vokalis kumpulan tersebut, Rich.

Single terbaharu kumpulan yang dianggotai oleh Rich, Hanafi dan Din ini berkisarkan perihal meraikan perasaan cinta dan kasih sayang.

Menurut vokalis Estranged, Rich, sumber inspirasi dan ilham lagu Milikku timbul ketika mereka sering berjauhan dari keluarga sewaktu menjalani rangka jelajah Misi Elektrik Borneo yang mengambil masa berbulan lamanya.

“Perasaan rindu dan rasa ingin bersama keluarga dan insan-insan yang tercinta menjadi sumber inspirasi kepada penulisan lagu Milikku.

“Selain itu, dalam keadaan dunia yang ramai kian tertekan dan murung, adalah penting untuk kita mengembalikan perasaan cinta sesama kita di antara  keluarga, sahabat handai dan masyarakat.Kami percaya kuasa cinta boleh menyelesaikan pelbagai masalah,” ujar Rich.

Menariknya, lagu Milikku tidak boleh didapati di platform iTunes mahu pun spotify, kerana ia hanya akan dicetak di dalam bentuk cakera padat (cd) dan akan dijual secara fizikal ketika Estranged bakal meneruskan Jelajah Misi Elektrik Borneo 2019.

“Dengan cara ini, penjualan secara fizikal Estranged akan dapat diteruskan di samping pengumpulan dana untuk bantuan hydro elektrik di kawasan kampung pendalaman sekitar Borneo.

“Wawasan kami ialah untuk menyalurkan elektrik ke sekurang-kurangnya 20 hingga 40 kampung bergantung kepada jumlah jualan cd yang dapat dikumpulkan samada melalui persembahan mahu pun penjualan cd melalui Facebook dan Instagram.

“Kami akan berkerjasama dengan rakan seperjuangan kami dari syarikat guaman Thomas Philip yang juga telah membantu 2 buah kampung di Sabah dan akan meneruskan untuk projek kampung yang seterusnya di daerah Ranau Sabah 2019,” ujar Rich mewakili Estranged.

Video muzik lagu Milikku telah dihasilkan oleh Din Hormatov dan merupakan video muzik  pertama di bawah arahannya selaku pengarah di Bornaya Media. Turut bekerjasama dalam muzik video ini ialah Syabil yang bertindak sebagai juruvideo.

“Kami tidak melakukan sebarang lakonan di dalam video muzik Milikku. Semua adegan yang dirakam adalah organik dan berlaku tepat pada waktunya.

“Kami mahukan saat dan momen kasih sayang yang ditayangkan itu adalah benar dan penonton serta peminat boleh menilaikan sendiri dan merasainya bersama,” ujar Din.

Disamping itu, video muzik tersebut turut dijayakan dengan penglibatan Dato Zainal Abidin beserta isterinya Datin Angelina.

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!