JANGAN PERMAINKAN SAYA – J.ONN

SIAPA tak sedih. Sudahlah diberi harapan, disuruh menghafal skrip tapi bila tiba waktu ke lokasi untuk penggambaran, ada yang menelefon beritahu, tempat saya dah diganti dengan yang lain.

“Ingatkan yang nak ganti tu otai macam saya, rupa-rupanya lebih muda. Tak payah disebut siapa? Tak usah saya beritahu, produksi mana? Padahal waktu saya ditawarkan berlakon saya yang cadangkan babak-babak komedi sesuai untuk menghidupkan watak tersebut.

“Tak apalah, dah bukan rezeki , saya percaya, ada rezeki lain. Namun, pengalaman mengajar sesuatu. Lepas ni, kalau orang nak bagi tawaran, saya kena hati-hati. Jangan jumpa yang indah berjanji.

“ Saya juga nak ingatkan, jangan ada yang suka nak membatalkan tawaran kepada yang lama macam saya, pada saat-saat akhir,” cerita seniman Jaafar Onn yang mengaku sudah dapat status Datuk.

Malah beliau bersyukur rezeki menyanyi dan menjayakan program masakan TV masih ligat di sana sini.

“Saya juga ada ditanya baru-baru ini, mahu atau tidak jika diajak main filem atau drama komedi ala Johnny English yang tengah ditayangkan di pawagam sekarang. Kononnya, melihat aksi-aksi mimik muka Rowan Atkinson sebagai Johnny English ada teringatkan saya.

“Bagi saya kalau benar nak suruh saya melakonkan filem komedi, asal bukan janji kosong,” katanya yang setakat ini pernah menjayakan beberapa filem dan drama antaranya Tarik Tarik, Cili Padi dan lain-lain.

TITLE DATUK

DALAM pada itu, Jaafar mengaku gelaran Datuk kepadanya, diberi dari negara jiran . Namun agak menguji perasaan dengan pertanyaan pihak tertentu, pingat Datuk dari istana mana tu?

“Ya agak terkilan. Sebab itu sebelum memulakan sidang akhbar majlis showcase saya baru-baru ini, saya pesan, mohon tak ditanya soalan sensitif.

Memang saya ada dapat gelaran dari luar. Macam nilah, memandang sekarang usia dah 68 tahun, saya jramai cucu angkat. Anggaplah gelaran itu Datuk sebab saya ini memang dipanggil Atuk oleh mereka . Jadi tak perlu nak tahu, saya ni dapat pangkat Datuk dari mana?,” katanya.

TERHARU SOKONGAN PEMINAT

JUALAN meja hampir habis. Jaafar sebak dapat tahu, Showcase An Evening With Jaafar Onn yang bakal dipentaskan di Wow Kuala Lumpur ( dulu Restoran Saloma), pada 19 Oktober nanti anjuran Big Brain House , dapat sambutan baik.

Saya terharu kerana ada pihak masih ingatkan saya. Alhamdulillah showcase yang turut menghimpunkan mereka yang popular yang pernah bekerjasama dengan saya iaitu Dato Yusni Hamid, Rohana Jalil, Salwa Abdul Rahman, Hazlina Kamsan , Kumpulan Eva dan turut dijayakan seorang pendatang baru, tidak hadapi masalah penjualan tiket.

“Harga meja RM1,500 sudah 70 peratus laris membuat saya syukur, terima kasih kepada saudara Ghaz kenalan lama yang yakin saya masih revelan untuk persembahan pentas,” katanya.

“Konsep persembahannya nanti memang istimewa, selain sajian makan minum yang sedap , ada cabutan bertuah untuk penonton,” cerita Jaafar yang mempunyai 10 buah album termasuk duet dengan rakan-rakan artis lain.

Dalam pada itu, Jaafar Onn juga gembira pihak Astro turut menyenaraikan namanya dalam program Di Sebalik Tawa membariskan pelawak-pelawak tanah air dengan pengalaman dan teman sepanjang perjalanan karier mereka di bidang popular.

Ruang komen
Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!