Intan Najuwa jadi pembantu rumah dalam drama bersiri Tuan Danial

Sudah serik menjadi pilihan lelaki kerana hartanya, Intan Najuwa tekad menjadi pembantu rumah untuk menyiasat calon suaminya! Nasib baiklah Intan hanya perlu menjadi pembantu rumah untuk memenuhi wataknya untuk drama terbaharu di slot Lestary iaitu ​Tuan Danial mulai 9 Ogos ini.

Selain Intan, drama adaptasi novel oleh Azizah Ami yang diarahkan oleh Idora Abdul Rahman ini turut membariskan ​Idris Khan, ​Luqman Hafidz, Scha Elinnea, Atikah Suhaime, Aman Graseka, Mathni Razak, Syafi Tee DFKL, Afifah Nasir, Noniswara dan juga Zuhairi Ibrahim.

Cinta yang cuba diatur oleh keluarga Tengku Ismahanim (Intan Najuwa) dengan jejaka yang tidak dikenali bernama Danial (Idris Khan) telah mendorongnya menyamar sebagai pembantu rumah. ​

Danial bukan lelaki pertama yang membuatkan Tengku Ismahanim atau Is, menyamar sebagai pembantu rumah.

Penyamaran Is ini adalah untuk menyiasat latar belakang dan sikap sebenar bakal-bakal suami yang dicadangkan oleh bapanya, Tengku Khalil namun semua calon itu tidak berjaya memikat hati Is sehinggalah Is menyamar menjadi pembantu rumah milik keluarga Tuan Danial.

Berlainan dengan lelaki-lelaki sebelumnya, walaupun kelihatan agak sombong dan tegas Is tertarik dengan Tuan Danial tidak terlalu bergantung kepada pembantu rumah. Berlaku pelbagai insiden melucukan ketika Is menyamar menjadi pembantu rumah Tuan Danial kerana Is sentiasa mengingkari arahannya dan Is sememangnya tidak tahu membuat kerja sebagai pembantu rumah.

Namun, lama kelamaan Tuan Danial mula lembut hati dan tertarik dengan sikap Is yang kelam kabut tetapi masih kelihatan comel. Tengku Hatta, adik Is turut terlibat sama dalam rancangannya iaitu berpura-pura mesra untuk membuatkan Tuan Danial cemburu melihat hubungan mesra mereka.

Kehadiran Nell (Atikah Suhaime), bekas tunang Tuan Danial yang kembali dari luar negara membuatkan Is rasa tidak sedap hati. Nell kelihatan cuba untuk kembali memiliki Tuan Danial. Pelbagai agenda cuba dilakukan oleh Nell cuba untuk menawan Tuan Danial, termasuklah mengugut untuk membunuh diri supaya Tuan Danial bersimpati kepadanya.

Bukan Is sahaja mempunyai saingan, Tuan Danial juga tergugat oleh kehadiran Rizal (Luqman Hafidz), jiran sebelah rumahnya yang obses untuk memiliki Is.

Rizal cuba menggoda Is dengan menghantar kad dan bunga. Rizal juga berani menengking Is yang telah membuang bunganya dan menumbuk Tuan Danial dengan teruk sekali semata-mata kerana inginkan Is.

Adakah cinta di antara Is dan Tuan Danial bakal bersatu dengan kehadiran Nell dan Rizal? Jangan lupa untuk ikuti kesemua 13 episod drama Tuan Danial untuk ketahui kesudahannya.

Ruang komen

Please enter banners and links.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!