IMRAN AJMAIN kongsi suka duka 10 tahun dalam konsert

DEBARAN kian memuncak! Itulah perasaan penyanyi Imran Ajmain,37,  yang akan menjayakan konsert solo sempena 10 tahun dalam industri muzik.

Persembahan istimewa yang dinamakan Konsert Mini Balada Melayu: Sepuluh Tahun Pertama ini akan berlangsung pada 13 Julai ini di Studio Recital, Esplanade, Singapura.

Apa yang menarik, selain mempersembahkan lagu-lagu popularnya, Imran akan berkongsi saat pahit manis dalam dunia hiburan. Ada juga kisah peribadi. Kisah cinta ke tu?

Cerita Imran, “Alhamdulillah… di awal kemunculan dalam industri muzik saya diterima baik oleh peminat muzik walaupun saya berasal dari Singapura. Lagu saya Seribu Tahun cukup mendapat sambutan hebat.

“Namun, cabarannya di situ apabila hanya lagu Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang sahaja yang diminati walaupun sudah muncul dengan empat album. Di mana-mana pun orang minta lagu tu.

“Saya berusaha untuk memperkenalkan lagu-lagu lain, tapi kurang berjaya dan itu menyebakan saya sedikit terkilan. Iyalah… Sebagai penyanyi, kalau boleh saya mahu dikenali dengan banyak lagu setelah 10 tahun dalam industri kan?

“Namun, saya perlu terima hakikat yang seni itu subjektif. Tidak semua orang boleh terima kelainan atau perbezaan muzik yang kita bawakan. Mungkin penangan dua lagu popular saya terlalu kuat dalam jiwa peminat sehingga mereka sukar untuk menerima lagu-lagu lain.” Itulah antara perkara yang membuatkan Imran Terkilan.

Kalau nak tahu lebih banyak lagi kisah Imran Ajmain, kenalah beli tiket dan datang ke konsertnya nanti ya! Mana tahu mungkin juga Imran akan kongsi dengan pentonton siapa kekasihnya? Tak gitu?

Penghargaan Untuk Arwah Bapa

Menyentuh soal konsert, Imran nekad untuk memberikan yang terbaik buat semua peminat yang hadir.

Konsert mini tersebut didedikasikan rentetan ulang tahun sedekad penglibatan Imran bersempena minggu Pesta Raya – Festival Seni Melayu yang berlangsung di Esplanade pada 12 hingga 15 Julai ini. Konsertnya berlangsung pada 13 Julai.

Menurut Imran yang juga menggalas jawatan Pengarah Kreatif SukaSucre Group of Companies, dia mengaku berdebar menanti hari berlangsung konsert mini Sepuluh Tahun Pertama yang dianggap cukup signifikan dalam profil serta kerjaya seninya.

Sambungnya, “Sejujurnya, saya berasa teruja dan waktu sama berdebar apabila berpeluang untuk muncul di dalam sebuah konsert mini sulung apatah lagi ia diadakan di Esplanade yang merupakan salah satu impian saya selepas bergelar artis.

“Begitupun, perasaan berdebar ini berjaya membangkitkan semangat luar biasa buat saya selepas mengetahui tiket sudah terjual hampir 90 peratus sebaik sahaja mula dilancarkan. Lantaran itu, saya harus berjuang sehabis daya pada persembahan itu nanti,” katanya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.

 Bercakap tentang persediaan konsert mini itu, Imran menjelaskan, dia akan diiringi sekitar 15 pemuzik profesional dari Singapura sepanjang persembahan berdurasi hampir dua jam ini.

 Menariknya, lagu-lagu terbaharu Imran juga bakal didendangkan semasa konsert mini ini termasuk Sentiasa Merinding dan Intan & Perak.

 Sebuah slot khas bakal dipersembahkan oleh Imran yang merupakan anak kepada penerbit, penyusun muzik dan penggubah lagu terkenal untuk para penyanyi era 80-an, Ahmad Husaini Ajmain sebagai tribut serta memberi apresiasi tertinggi buat arwah bapanya.

 Populariti arwah bapa Imran mengharum indah selepas bekerjasama dengan nama-nama besar industri seni seperti Othman Hamzah, Sweet Charity, Salwa Abdul Rahman, Salimah Mahmood, Azean Irdawaty dan ramai lagi.

 Tiket berharga 27SGD (RM80) boleh dibeli dengan menghubungi Esplanade Box Office di talian (65) 68288389 atau emel boxoffice@esplanade.com. Sementara itu, para pelajar dan golongan senior pula boleh mendapat diskaun dengan harga 21SGD (RM63).

 Foto: @theshahrulizzat

Deel Anjer
News Reporter
error: Content is protected !!