I Can See Your Voice Malaysia kembali dengan musim kedua

Foto: Zulfaiz Zakaria

Program realiti hiburan I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) kini kembali dengan musim kedua di TV3 bermula 23 Jun ini pada setiap Ahad pada pukul 9.00 malam.

Program yang mengambil konsep dan format program asal dari Korea Selatan oleh CJ ENM ini menampilkan penyanyi-penyanyi misteri bersama barisan artis jemputan tanah air.

Setiap peserta perlu bijak untuk memperdayakan artis jemputan dan panel penyiasat dengan lakonan mereka ketika menyampaikan lagu-lagu terpilih untuk terus kekal di atas pentas ICSYVMY2.

ICSYVMY ​musim kedua akan dihoskan oleh dua pengacara iaitu Shuk Sahar ​dan ​Sean LJE​.

Hos ICSYVMY2, Shuk dan Sean LJE

Manakala tugas sebagai ​‘penyiasat tetap’ pula masih lagi digalas oleh ​Jihan Muse, Mark Adam ​dan ​Seelan Paul sama seperti musim pertama.

Menurut Mark Adam, musim terbaharu ini lebih menarik dan mencabar berbanding musim terdahulu.

“Apa yang penonton boleh jangka untuk musim kedua ini adalah ia lebih mencabar  kerana sukar untuk meneka siapa penyamar bersuara sumbang dan penyanyi sebenar.

“Selain itu, musim terbaru ini turut menampilkan kemunculan artis-artis ternama tanah air sebagai jemputan untuk meneka dan juga selaku penyiasat jemputan,” katanya ketika sidang media ICSYVMY 2 pada Rabu.

Bercerita tentang penampilan Shuk bersama Sean Lee sebagai hos, Seelan Paul akui gandingan mereka memeriahkan lagi program tersebut.

“Untuk musim kedua ini penonton akan menyaksikan sedikit kelainan pada hos program dengan penampilan Sean yang digandingkan bersama Shuk.

“Keserasian mereka memang sangat baik dan banyak aksi mereka yang akan membuatkan penonton tidak kering gusi nanti,” ujar Seelan.

Selain Mark Adam, Seelan Paul dan Jihan Muse sebagai penyiasat tetap, mereka turut akan ditemani oleh dua lagi orang ​penyiasat jemputan untuk membantu artis jemputan mengenal pasti siapakah sebenarnya penyamar bersuara sumbang dalam kalangan penyanyi-penyanyi misteri ini.

Setiap penyanyi misteri yang disingkir akan ke pentas penentuan di mana beliau akan mendedahkan suara sebenar.

Seandainya penyanyi misteri terakhir merupakan penyanyi sebenar, penyanyi itu akan dapat menyertai ​Showcase ICSYVMY ​dan membuat persembahan bersama artis-artis ternama tanah air.

Manakala, jika penyanyi misteri terakhir merupakan penyamar, beliau akan membawa pulang RM3,000.

ICSYVMY ​musim kedua ini dimeriahkan lagi dengan artis-artis jemputan seperti Hael Husaini, Khai Bahar, Nabila Razali, Datin Alyah, Syamel, Siti Sarah, Floor 88, Haqiem Rusli, Ella, Ajai, Sam Bunkface dan Mas Idayu.

Ruang komen

Please enter banners and links.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!