“HIP HOP TAK ADA PUAK, KITA SEMUA KELUARGA” – ABUBAKARXLI

Penyanyi rap semakin meningkat naik, AbuBakarXli akui gembira dengan perkembangan muzik rap dan hip hop tanah air yang semakin meriah dan diterima ramai.

AbuBakarXli atau nama sebenar Mohd Faiz Mohd Yusof, 23 tahun, memberitahu semakin ramai penyanyi rap seperti dirinya muncul kerana perkembangan ini.

“Perkembangan ini adalah satu petunjuk ‘scene’ hip hop tanah air semakin ‘sihat’. Ramai penyanyi rap seperti saya muncul bukan sahaja kerana minat malah sebab penerimaan khalayak semakin baik.

“Soal persaingan itu tidak pernah timbul kerana kami sesama sendiri tidak pernah bersaing malah menyokong antara satu sama lain. Hip hop tak ada puak, kita semua adalah keluarga.

“Soal lirik kami yang sering dikaitkan dengan memberontak sama sekali tidak benar. Kami menyuarakan dan bukan memberontak. Apa yang kami sampai dalam rap kami adalah luahan atau mesej tentang sesuatu perkara,” ujar AbuBakarXli yang mula bergelar sebagai penyanyi rap sejak tahun 2013.

AbuBakarXli  yang kini bernaung dibawah Kartel Records milik penyanyi rap, Joe Flizzow akui rasa teruja dan dapat bekerja dibawah legenda hip hop tanah air itu adalah satu penghormatan buat dirinya.

“Dapat duduk dibawah bimbingan idola saya adalah seperti sebuah mimpi. Sampai sekarang saya masih tidak percaya. Ini adalah rezeki yang Allah berikan dan saya amat bersyukur dan sangat gembira.

“Buat masa ini pihak pengurusan sedang memilih lagu yang sesuai untuk dijadikan single pertama saya bersama Kartel Records. Jika tiada aral melintang lagu itu nanti akan muncul selepas Syawal nanti.

“Apa yang boleh saya ceritakan adalah lagu itu nanti akan mengetengahkan konsep ‘street’ dengan elemen muzik trap yang bukan sahaja boleh didengar oleh peminat muzik hip hop malah semua orang,” kata jejaka asal Ipoh ini.

AbuBakarXli bakal berkongsi pentas dengan artis-artis lain dibawah naungan Kartel Records seperti Joe, Flizzow, Alif, Sona One, Joe Flizzow, Yung Raja, Fariz Jabba dan Ila Damiaa pada festival muzik terbesar anjuran Music Unlimited International Sdn Bhd, KL Jamm pada 28 April ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Konsert khas yang diberi nama Kartel itu bakal mengisi slot pada pukul 5.30 petang pada 28 April 2019 di festival Muzik KL Jamm.

Bagi yang ingin menyaksikan konsert Kartel, tiket dijual pada harga RM78 (silver), RM128 (gold) dan RM148 (gold+meet & greet) secara atas talian menerusi laman web www.tickethotline.com.my. Untuk maklumat lanjut tentang festival muzik KL Jamm, layari www.kljamm.com

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!