HIJJAZ, INTEAM, UNIC dan MESTICA bersatu kembali di Konsert AMAL 4NOMENA ALUMNI UIAM

Demi mengembalikan nostalgia irama nasyid sekaligus mengubat kerinduan para peminat muzik nasyid tanah air, kumpulan nasyid popular dibawah Hijab Record, Hijjaz, Inteam, Unic dan Mestica bakal mengadakan persembahan reunion di Konsert Amal 4nomena Alumni UIAM pada 20 April 2019, jam 8.30 malam di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Konsert anjuran KGM Event dengan kerjasama Alumni UIAM berdurasi selama tiga jam ini diadakan sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada sokongan peminat yang tidak pernah berbelah sejak lebih dua dekad tertubuhnya Hijjaz Records.

Menurut Pengarah KGM Event, Mahmud Fahrurrazey, tema ‘Terima Kasih’ diangkat sebagai simbolik kepada konsert penyatuan (reunion) ini.

“Meskipun kebelakangan ini muzik nasyid mungkin dilihat tidak lagi menguasai pasaran dan bergerak agak perlahan, namun tanggapan tersebut tidak tepat kerana genre nasyid masih lagi relevan dan bersifat malar segar sehingga kini kerana ia mempunyai kelompok besar peminatnya yang tersendiri.

Inteam

“Pihak KGM Event dengan kerjasama Alumni UIAM selaku penganjur bersama cukup berbesar hati membawakan konsert penyatuan ini sebagai tanda penghargaan kepada sokongan peminat yang merupakan tulang belakang perjuangan muzik nasyid.

“Kami berharap konsert penyatuan ini bakal berlangsung dalam suasana gemilang seperti yang dirancang sekaligus membekaskan impak yang mendalam.

Hijjaz

“Jadi, jangan tunggu lagi. Dapatkan tiket segera dan datang beramai-ramai bersama sahabat handai dan seisi keluarga kerana para peminat bakal dijanjikan dengan pengalaman menonton yang mempersonakan,” katanya.

Konsert Amal 4Nomena Alumni UIAM ini meletakkan sasaran jualan tiket sebanyak 3,000 tiket kepada badan-badan korporat, persatuan-persatuan dan orang ramai.

Sebahagian daripada hasil kutipan jualan tiket konsert ini bakal disalurkan kepada tabung bantuan untuk meringankan beban pelajar-pelajar UIAM yang kurang berkemampuan dan turut disumbangkan kepada dana sosial yang digerakkan oleh ‘Kengkawan Project’ iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan bantuan kemasyarakatan.

Mestica

Setiap kumpulan nasyid bakal mendendangkan lima buah hits masing-masing dengan iringan muzik pemuzik berpengalaman iaitu Along Exists & Friends.

Selain itu, terdapat juga persembahan istimewa daripada bekas anggota kumpulan nasyid tersebut yang kini aktif bergerak secara solo iaitu Fitri Haris (UNIC), Suhaimi Saad (INTEAM), Hafiz Hamidun (UNIC) dan Fadzli Aziz (UNIC).

Unic dan Hafiz Hamidun

Konsert turut akan dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada juara pertandingan Maharaja Lawak Mega 2014 iaitu Kumpulan Zero.

Tiket jualan konsert terbahagi kepada 4 zon iaitu Zon VIP, Zon A, Zon B dan Zon C yang dijual bermula dengan harga RM15 hingga RM60 sahaja.

Istimewa buat pembeli tiket VIP, mereka akan menerima pas istimewa Meet and Greet.

Bagi yang berminat, tiket  boleh dibeli terus dengan menghubungi secara Whatsapp di talian 017-2833449. Untuk sebarang butiran lanjut, sila kunjungi akaun media sosial rasmi di Instagram dan Facebook.

Ruang komen
URTV
News Reporter
error: Content is protected !!