Herman Tino cabar Amy Search

“SAYA tergerak untuk berkonsert dan mempersilakan legend rock Amy bersama-sama saya di atas satu pentas.

“Dulu tahun 1985, rock bawaannya mengacau dangdut deliku, tapi saya meminati beliau.

“Dah umur macam ini, jom kita sepentas hadapi cabaran. Saya berani. Awak? Mengapa Di Kenang Mengapa Difikir VS Isabella,” itulah pengakuan seniman dangdut 80an, Herman Tino  baru-baru ini kepada penulis.

Katanya, dia sudah bertanyakan Amy Search mahu kah membuat konsert awal tahun depan di Stadium Melawati Shah Alam Selangor? Namun masih menanti jawapan lebih pasti daripada  Raja Rock itu.

“Saya sudah bertanyakan hal ini dengan penggubah muzik tersohor Datuk Ramli M. S, dia juga setuju. Saya dan Amy  mesti sepentas. Dia nyanyi lagu-lagu rocknya, saya dengan lagu-lagu saya.

“Ada cadangan, Amy bawa juga lagu saya dan saya bawakan  satu atau dua lagu-lagu rocknya dalam irama dangdut. Kita tengok apabila rock dan dangdut bergabung dan bersaing di atas pentas ….apa rasanya?

“Saya akan juga mengundang Aiman Tino, Hafiz Suip, saya mahu Amy bawa pendatang muda popular seperti Ayda Jebat sebagai artis undangannya nanti,” kata Herman Tino  yang berasal dari Tanjung Karang.

Malam itu, ketika kami mula berbual di majlis ulang tahun seniman komposer S. Atan ke 70,  di Taman Sri Hartamas membawa ke pertemuan kali kedua saya dengan Herman Tino lagi di Bangsar, Kuala Lumpur, beliau melahirkan rasa sama, mahu sepentas dengan Amy Search.

“Tolong tuliskan. Biar ia menjadi heboh. Saya mohon sokongan semua pihak memberi laluan dapat bersama-sama menjayakan persembahan yang sudah saya hasratkan.

“Mengapa Amy? Tidak yang lain?  Bagai yang saya katakan dari awal. Kehadiran Search dan Amy mengganggu irama dangdut saya dan rakan-rakan lain yang tengah hangat pada awal 80an.

“Tapi saya kagum dan minat rock bawaan Amy itu,” jawabnya yang tak lama lagi bakal muncul dengan single terbaharu di mana pemuziknya dari kalangan kumpulan Lefhanded terlibat menjayakannya.

“Yang itu kejutan juga. Nanti akan saya ceritakan lagi. Yang pasti, saya berharap impian tahun 2020 saya mahu berkonsert dengan Amy bukan sekadar angan-angan,” tambahnya.

Semoga segala dirancang menjadi. Sesudah atau sebelum Konsert Romantika Awie  dengan Erra Fazira di lokasi sama, 15 Februari 2020 apa kah akan bergegar irama dangdut Herman Tino bersama-sama dentuman rock Amy Search?

Herman Tino berharap akan ada penaja yang sudi menjadikannya sebuah kenyataan.

Ruang komen

Please enter banners and links.

Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!