HATIKU MILIKMU single terbaharu SITI NORDIANA

Sifat kesetiaan, ketulusan, kekuatan, istiqamah dan iltizam yang bersungguh-sungguh yang wujud dalam sanubari wanita sering diungkap dalam naskhah-naskhah zaman silam sama ada di alam Melayu ataupun Barat. Keutuhan cinta seorang wanita yang setia tidak ada pasang surutnya, tidak pernah berkurang apatah lagi hilang ditelan masa. Sekali dia menyerahkan jiwa dan raganya kepada seorang lelaki,  sampai ke hujung nyawa dia akan tetap melestarikan rasa kasih dan sayangnya kepada pasangannya.

Begitulah luahan Siti Nordiana dalam single terbaharunya yang berjudul Hatiku Milikmu.  Ini merupakan single solo Nana yang ketiga selepas muncul juara dalam program Gegar Vaganza 2 (GV2) pada tahun 2015. Masih mengekalkan tema cinta dalam single terbaru ini, Siti Nordiana yang mesra disapa sebagai Nana ini beranggapan lagu ini bukan hanya mengisarkan kisah cinta biasa, malah ianya lebih memfokuskan kepada sifat wanita yang setia dan tulus dalam percintaan.

“Bagi Nana lagu ini melambangkan keutuhan cinta seorang wanita. Walaupun pernah dikecewakan, hatinya tetap setia dan cintanya tetap utuh. Sukar untuk dia berpindah ke lain hati apabila sepenuh jiwa raganya sudah pun diserahkan kepada lelaki yang amat dicintainya,” jelas Nana tentang perihal yang diangkat dalam Hatiku Milikmu.

Single terbaharu ini merupakan hasil gubahan Nana sendiri bersama Shana yang bertindak sebagai penulis lirik. Lagu berentak pop balada ini diterbitkan oleh syarikat rakaman milik Nana sendiri, SND Soul Entertainment dengan kerjasama Seventeen Eleven Music Sdn Bhd sebagai pengedar.

Sesuai dengan suara dan kecenderungan Nana sendiri yang selesa membawakan lagu-lagu irama balada yang sudah sebati dengan dirinya. Nana sekali lagi mempertaruhkan genre pop balada untuk single “Hatiku Milikmu” ini. Menjanjikan sedikit kelainan terhadap karya terbarunya ini, Nana memilih untuk menyuntik sedikit elemen moden ke dalam susunan muzik Hatiku Milikmu agar berbunyi lebih segar dan berbeza berbanding lagu-lagu Nana sebelum ini.

“Apa yang boleh Nana simpulkan, muzik dalam lagu ni memang cukup istimewa. Lagu ini sepatutnya lagu sedih dengan melodi mendayu-dayu dan lirik yang melankolis, tetapi sebaliknya lagu ini kedengaran tidaklah sampai meruntun jiwa. Itulah keistimewaannya. Lagu sedih tapi muziknya sedikit rancak,” ulas Nana.

”Lagipun, sengaja Nana hasilkan lagu ini agar tidak bernada tinggi dan bersifat lebih santai. Senanglah nanti untuk peminat menyanyikan lagu ini di karaoke atau menerusi applikasi seperti Smule,” jelas Nana lagi.

Sekiranya lirik dalam single Nana sebelum ini Terus Mencintai merupakan cerminan kisah percintaan Nana sendiri. Inspirasi lirik Hatiku Milikmu pula datang dari sumber yang berbeza. Penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini menjelaskan,“Ilham untuk penulisan lirik lagu ini bermula daripada lontaran idea Nana dan Shana. Mengambil contoh kisah-kisah cinta di sekeliling kita, kami berdua sama-sama fikirkan latar cerita terbaik untuk lagu ini. Lirik nukilan Shana berjaya memberi jiwa kepada lagu ini.”

Turut dilancarkan bersama single ini adalah video muzik rasmi Hatiku Milikmu yang akan mula disiarkan Video muzik ini merupakan arahan Sergiu Chirau dan Dragos Cruceat dari agensi produksi video, Storytellrs. Penggambaran dijalankan selama seminggu di Krabi, Thailand dan sekitar Kuala Lumpur. Menurut Nana, inilah pengalaman pertamanya menjalani penggambaran video muzik di luar negara sepanjang tempoh karier seninya yang sudah menginjak usia 19 tahun.

Video muzik ini turut menampilkan pasangan lakonan Nana dalam telemovie Cekelat Semanis Honey dan Cekelat Tak Semanis Honey. Pemilihan Fikry Ibrahim untuk bergandingan dengannya dalam video muzik ini menurut Nana adalah bagi memenuhi permintaan peminat yang mahu melihat kesinambungan gandingan mereka di layar perak. “Ada sesuatu istimewa yang Nana sajikan dalam video muzik ini. Peminat kenalah tonton kalau hendak tahu lebih lanjut,” ujar Nana yang turut teruja menantikan hasil video muzik itu.

Nana yang sibuk merencana kerjaya seninya dalam bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan untuk tahun 2018, berdebar menunggu penerimaan peminat terhadap single terbaru ini berkata,“Selama ini memang Nana cuba berikan yang terbaik untuk peminat. Merekalah sumber inspirasi Nana. Harapan Nana agar Hatiku Milikmu ini mendapat reaksi positif peminat Nana khususnya dan pencinta seni tanahair amnya.”

Bermula daripada 2 Aoril 2018, lagu Hatiku Milikmu  boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes , KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music.

FACEBOOK          : https://www.facebook.com/OfficialSitiNordiana

TWITTER              : https://twitter.com/sitinordiana84

INSTAGRAM      : https://www.instagram.com/sitinordiana

Ruang komen

Please enter banners and links.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!