HARAM dinobat juara AJL33

Lagu Haram ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) yang diadakan secara langsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 3 Februari 2019.

Dengan kemenangan itu, lagu yang didendangkan oleh Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah melayakkan mereka membawa pulang RM50,000 beserta trofi.

Lagu Haram berjaya menewaskan 11 lagu lain di pentas AJL 33 iaitu Hajat (Hael Husaini), Luluh (Khai Bagar), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli & Aman RA), Kau Pun Sama (Syamel), Nisan Cinta (Siti Nurdiana & Jaclyn Victor), Semakin (Siti Sarah), Bunga (Ara Johari), Dimatamu (Sufian Suhaimi), Tak Pernah Hilang (Amylea & Kaer), Bunga (De Fam) dan Sampai Bila (Misha Omar).

Naib juara dimenangi oleh lagu Bunga ciptaan Hang Nadim, Laq dan Kadok serta lirik oleh Hang Nadim dinyanyikan oleh Ara Johari dengan membawa pulang RM35,000 beserta trofi.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh lagu Sampai Bila ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh FitriYahya dan Shah Shamshiri dinyanyikan oleh Misha Omar dengan membawa pulang RM20,000 beserta trofi.

Misha turut memenangi kategori Vokal Terbaik menerusi lagu Sampai Bila dan membawa pulang RM12,000 beserta trofi.

Persembahan Terbaik pula dimenangi oleh Sufian Suhaimi menerusi lagu Dimata Mu dengan membawa pulang RM12,000 beserta trofi dan telefon pintar Samsung Galaxy A9.

Persembahan 12 finalis AJL 33 telah diadili oleh juri professional yang diketuai oleh Azmeer iaitu Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Wah Idris, Manan Ngah, Helen Yap, Lokman Uzir (Lok U), Ajai, Adi Priyo dan AG Coco.

Malam kemuncak AJL 33 yang dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad turut diserikan dengan persembahan pembukaan penuh bertenaga oleh Amy Search bersama DJ Fuzz menerusi lagu Gagalista dan Pelesit Kota.

Penyanyi Nabila Razali, Ismail Izzani dan Sarah Suhairi turut membuat persembahan pada pertengahan majlis menerusi lagu Seribu Impian.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan lagu-lagu hip-hop seperti Inilah Nasib Ku (Nico G), Anak Ayam (Juzzthin, Balan & Lil J), Nak Ke Tak Nak (Zizi Kirana), Bangun (Aman RA), Apa Khabar (Joe Flizzow & Sona One), Sampai Jadi (Joe Flizzow & Alif) dan Sang Saka Biru (Joe Flizzow, Sona One, Alif) sebelum acara pengumuman pemenang.

Foro: Instagram @tv3malaysia

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!