Bakat HANEESYA makin menyerlah

Model dan pelakon cantik Sharifah Haneesya Sayed Sahlan atau Haneesya, 18 tahun, semakin murah rezeki dalam bidang peragaan. Selain itu, anak sulung daripada tiga adik-beradik ini juga semakin aktif berlakon.

“Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang peragaan dan juga lakonan semakin baik. Banyak tawaran yang saya terima.

“Tak lama lagi saya akan muncul dalam mega drama Cik Reen Encik Ngok Ngek terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd dibawah arahan Hadith Omar yang bakal disiarkan di slot Megadrama di Astro Ria pada bermula 1 Oktober ini.

“Pelakon lain yang terlibat adalah Farah Nabilah, Fikry Ibrahim, Raja Azmi, Iswan Ismail, Farhan Asri, Scha Elinnea dan ramai lagi.

“Sebagai seorang pelakon baru, sudah semestinya saya perlu lebih bekerja kuat dan sentiasa cuba melakukan yang terbaik. Bukan sekadar terima skrip dan kemudian menghafalnya.

“Saya banyak membuat kajian dan pemerhatian. Selain itu saya juga banyak bertanya daripada mereka yang sudah lama dalam dunia lakonan untuk menambah ilmu dan pengetahuan saya dalam bidang ini.

“Semua pelakon kalau boleh idamkan watak-watak mencabar untuk menjadi lebih baik, begitu juga dengan saya. Saya idamkan watak wanita lasak dan kuat seperti watak Lara Croft.

“Watak Lara Croft mempunyai karektor yang sangat menarik dan menonjol. Watak itu menunjukkan kekuatan dan kehebatan seorang wanita yang mampu melakukan perkara yang luar biasa. Saya teringin sangat nak membawa watak seperti itu.

“Bercakap pasal cinta, buat masa ini saya masih single. Bukan tak nak bercinta tapi saya rasa sekarang bukan masa yang sesuai sebab ingin fokus pada kerjaya terlebih dahulu. Lagi pun saya masih muda.

“Bukannya mudah nak jumpa lelaki yang benar-benar sempurna. Saya tidak mahu meletakkan ciri jejaka idaman kerana sukar untuk kita dapat apa yang diinginkan. Apa yang penting jika emak saya suka, maka saya pun suka lelaki tersebut,” cerita Haneesya yang tidak suka lelaki yang hipokrit dan suka bercakap besar.

Haneesya mewarisi darah seni keluarga sebelah ayahnya. Ayahnya, Sayed Sahlan adalah vokalis kumpulan Hydra manakala datuk, Sayed Hamid adalah pelakon. Selain itu moyangnya, Zaharah Agus (ibu datuk Haneesya) adalah pelakon yang popular menerusi watak isteri pertama P.Ramlee dalam filem Madu 3.

Foto: ROHAIDA ZULKIFLI

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!