Han ul juara Big Stage musim kedua

Teka-teki siapa bakal membawa pulang gelaran pemenang Big Stage musim kedua akhirnya terjawab apabila Han ul dinobatkan sebagai juara pada pentas akhir program realiti tersebut yang diadakan secara langsung di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada malam Ahad.

Usaha gigih dan tidak mengenal erti putus asa penyanyi berasal dari Korea Selatan selama lapan minggu akhirnya membuahkan hasil setelah berjaya menewaskan empat finalis lain iaitu Dinda Permata, Neeta, Adzrin dan Irfan Haris.

Kemenangan itu melayakkan Han ul membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM100,000, sebuah kereta Perodua Axia Style, telefon pintar Vivo V17 Pro berserta trofi.

Tempat kedua dimenangi oleh Neeta dengan menerima wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi. Adzrin pula di tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM25,000 beserta trofi.

Sementara itu Irfan Harris yang mendapat tempat keempat dan Dinda Permata yang berada di tempat kelima tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing membawa pulang RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.

Pada konsert akhir, setiap finalis diberikan dua tugasan iaitu menyanyikan lagu cover dan single terbaharu mereka.

Persembahan kesemua peserta pada konsert final yang dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Alif Satar ini diadili oleh dua juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Cakra Khan beserta juri undangan, Misha Omar.

Ruang komen
URTV
News Reporter