Hajat seniman terbilang S.Atan

AYAH saudara penggubah dan komposer popular-Datuk Ranli MS  juga,   abang kepada komposer Bell Fatah , komposer legenda S. ATAN  (Haji Hashim Said)  sebak dan mengimpikan hajat besar, setelah berusia  70 pada  malam 1 Ogos baru-baru ini.

“Terima kasih isteri ( Hajah Norizan Yeop)  dan kawan-kawan artis dan wartawan yang terdekat kerana di dalam diam,  sudi membuatkan majlis kejutan ini.

“Ramai kenalan lama dan baru juga rakan-rakan artis dari Singapura dan Kuala Lumpur hadir. Terharu saya dibuatnya,” katanya.

“Tentang impian pada usia sekarang, macam yang pernah saya beritahu sebelum ini kepada URTV, saya hendak menurunkan ilmu muzik kepada artis-artis popular muda  hari ini. Terutama mereka yang suka mencipta lagu,” ceritanya kepada Huzz untuk URTV.

“Saya sudi menjadi guru agar mereka mendalami ilmu muzik.  Belajarlah tentang  muzik. Jadilah macam penyanyi di Indonesia dan Filipina mungkin juga negara lain. Mereka kena kenal apa itu skor muzik?.

“ Begitulah kalau ada nak berjaya jadi  pencipta lagu,  kalau boleh belajar betul-betul tentang muzik.

“Sama ada saya akan mengajar mereka di dalam kelas atau rumah, itu boleh dirunding. Malah upah mengajar pun saya tak demand. Saya hanya mahu menurunkan ilmu agar penyanyi dan pencipta lagu muda kita lebih sukses.

“Selain itu saya juga  teringin nak buat konsert istimewa melibatkan artis-artis sepanjang zaman penglibatan saya dalam dunia hiburan sejak era 60an lagi. Kalaulah dapat, nak diadakan di Dewan Fillharmonik.

“Konsert itu bersempena sambutan Aidilfitri tahun depan, penyanyi- penyanyinya  mesti bawa lagu –lagu popular tentang perayaan,  ciptaan dan yang pernah saya terlibat dalam gubahan muziknya,” hajat seniman ini yang juga kenalan baik, Allahyarham Suhaimi Mohd Zain.

Kalau bercerita tentang S. Atan dan dunia hiburan, tak boleh dinafikan luas pengalamannya. Lagu-lagu ciptaan dan susunan muziknya , banyak yang hebat.

Bukan setakat boleh mencipta dan menulis lagu-lagu irama pop,balada malah irama lain termasuk tradisional.

Selain artis hari ini, beliau sudah lama beraksi dalam dunia hiburan. S.Atan pernah  bekerja dengan penyanyi bernama besar dalam industri tanah air antaranya  Allahyarham Puan Sri Saloma , Datuk Sharifah Aini, Datuk Sudirman Haji Arshad, Datuk DJ Dave , Datuk Jamal Abdillah, Herman Tino dan ramai lagi.

SEKSA

ANTARA banyak kenangan mengenai S. Atan yang  Huzz tak lupa, tentunya apabila  Allahyarham Datuk Sharifah Aini  ketika hayatnya, mahu merakamkan lagu-lagu  generasi muda sekitar 90an.

Ketika itu,  beliau yang dianggap anak emas  EMI Malaysia mahu memberi `jiwa’ baharu pada lagu Seksa(ciptaan Saari Amri) nyanyian Amir Ukays.

Sharifah Aini mahu  S. Atan membuat gubahan semula muzik lagu itu.

Dengan kreativitinya lahirkan Seksa versi irama tradisional dengan alunan`gendang gendut’  yang apabila dirakam semula dengan suara lemak merdu  Sharifah  Aini menjadikan lagu itu gilaan ramai , popular  sampai ke hari ini. Itu salah satu antara banyak hasil kerja S. Atan yang sukar dilupakan terhadap khazanah dunia hiburan kita.

PENGHARGAAN

HARAP pihak stesen TV melihat dan `menghargai’ kelibat S. Atan selagi beliau masih di sini. Begitulah dalam ramai artis bergelar Datuk,  mengapakah  nama S. Atan bagai tercicir?

Walaupun S. Atan tidak berkecil hati dengan yang barangkali `terlupa’,  sumbangan besarnya kepada dunia hiburan takkan dilupakan yang menyedari.

Majlis ulang tahunnya di restoran dikenali sebagai Tanjung Puteri oleh Chef Zainal Abdul Rahman di Taman Sri Hartamas itu telah menghimpunkan ramai artis antaranya Sanisah Huri, Hail Amir, Uji Rashid, Puan Sri Rina Rahman, Dayang Ku Intan, Herman Tino, Zaiton Sameon,  Liza Abdulllah, Maria Arshad , Datuk Nassier Wahab,  Datin Ziela Jalil, Rohana Jalil, Ayati Tasrip, Chef Yang Jamil, Syed Wafa, Haiza dan ramai lagi.

Antara tetamu VVIP ialah ahli perniagaan -Datuk Rohaizat.

Antara mereka, yang menghiburkan ramai hadirin malam itu ialah Uji Rashid, Hail Amir, Dayang Ku Intan dan  Herman Tino.

Sekali lagi tahniah URTV kepada S. Atan sempena usia baharunya.

Ruang komen
Huzz
News Reporter