GEMA GEGAR VAGANZA Kembali Bergema Untuk Musim Kedua

Setelah mencetuskan fenomena hebat tahun lalu, program nyanyian Gema Gegar Vaganza (GGV) kini kembali untuk musim kedua bermula 31 Mac 2018, jam 9.00 malam di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Musim terbaharu yang akan akan dipancarkan secara langsung selama tujuh minggu dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu ini akan menampilkan 11 peserta yang terdiri daripada enam peserta berkumpulan iaitu Brothers, Devotees, InTeam, Mestica, Rabithah serta Heliza & Hazwani (pasangan duo) dan lima peserta solo iaitu Adeep Nahar, Awi Rafael, Farah Asyikin, Fitri Haris dan Ippo Hafiz.

Masih mengekalkan tema Gema Irama Terindah, setiap peserta akan diberi tugasan berdasarkan tema mingguan yang telah ditetapkan. Mereka bebas untuk memberi nafas baharu terhadap lagu tugasan tersebut mengikut pada kreativiti masing-masing.

Seleksi lagu yang dipersembahkan di pentas GGV musim kedua terdiri daripada pelbagai genre lagu yang mempunyai lirik dan mesej positif, serta dipersembahkan berlandaskan batas-batas yang dibenarkan dalam agama Islam.

Kesemua peserta GGV musim kedua akan diadili sepenuhnya oleh dua orang ‘Juri Tetap’ iaitu komposer dan penerbit, Farihin Abdul Fattah dan anak seni yang cukup disegani di Indonesia, Oki Setiana Dewi serta seorang ‘Juri Jemputan’ pada setiap minggu.

Manakala, tugasan selaku ‘Pengacara’ program pula digalas oleh penyanyi popular, Siti Nordiana serta pelawak dan pelakon, Fikry Ibrahim. Turut sama menyarung jersi pengacara bersama Siti Nordiana dan Fikry adalah Fakhrul UNIC.

Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, pihak Astro berasa amat teruja untuk membawakan ‘Gema Gegar Vaganza’ musim kedua kepada penonton.

“Rentetan daripada pelbagai kejayaan yang berjaya dilakar oleh program ini selepas penerbitannya tahun lalu, kami berasa sangat bersyukur dan lebih bersemangat untuk memberi yang lebih baik kepada penonton.

“Impak yang diberikan oleh ‘Gema Gegar Vaganza’ melebihi skala yang diharapkan apabila bukan sahaja program ini menjadi sebutan rakyat Malaysia malahan berjaya mencatatkan rekod sebagai program Islamik nombor satu di Malaysia. Saya percaya, matlamat utama program untuk menyampaikan mesej-mesej ilmiah dan menanam nilai-nilai murni dalam hati penonton dan masyarakat Malaysia amnya menerusi persembahan lagu-lagu positif daripada pelbagai genre, berjaya dicapai.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad

“Justeru itu, kami masih mengekalkan format penganjuran ‘Gema Gegar Vaganza’ musim kedua seperti tahun sebelumnya. Cuma, pada musim ini kami menampilkan 11 peserta berbanding 10. Keputusan ini diambil selepas kehadiran ramai penyanyi berbakat ke sesi ujibakat tertutup. Sayang rasanya apabila mereka yang benar-benar layak tidak diberi peluang untuk beraksi di pentas GGV musim kedua ini. Kami yakin, bakat mereka ini wajar diangkat kembali untuk kebaikan kita bersama.

“Selain itu, kami juga memperkenalkan seorang lagi pengacara baharu yang akan bergandingan bersama Siti Nordiana dan Fikry Ibrahim iaitu Fakhrul UNIC. Beliau berbakat bukan sahaja dalam bidang nyanyian tetapi juga pengacaraan di mana beliau juga merupakan pengacara program terbitan Astro Oasis iaitu ‘Bismillah Ad-Duha’.

“Personaliti yang dimiliki beliau juga disenangi semua. Pihak kami yakin Fakhrul dapat menggalas tugasan ini dengan baik, apatah lagi beliau pernah berada di pentas GGV tahun lalu, yang mana kumpulan UNIC sendiri telah dinobatkan sebagai juara. Pastinya, kehadiran beliau ke dalam keluarga GGV menerusi sisi lain (sebagai pengacara) akan dapat memeriahkan lagi program ini,” katanya.

Ruang komen
URTV
News Reporter
error: Content is protected !!