Festival dan anugerah khas untuk ‘Raja Buah’

Foto:Zulfaiz Zakaria

Atas sambutan yang menggalakkan pada penganjuran pertama tahun lalu, Festival & Anugerah Durian Bangi Golf Resort bakal kembali pada 13 dan 14 Julai 2019.

Festival yang segalanya tentang durian ini dibuka kepada orang awam secara percuma dari 10 pagi hingga 8 malam.

Pada tahun ini lebih 60 khemah akan dibuka untuk pasar petani, 38 peserta bagi pameran dagangan dan 6 seminar berteraskan durian akan berlangsung, terbuka untuk semua.

Menurut Pengarah Festival, BK Tan, lebih dari 5,000 kilogram durian dari serata Malaysia akan ditawarkan di Festival & Anugerah Durian Bangi Golf Resort 2019.

turut menjangkakan kehadiran pengunjung berganda berbanding penganjuran kali pertama tahun lepas yang menyaksikan lebih 6,000 pengunjung hadir.

“Festival kali ini membawa durian variasi terkenal dari ladang-ladang di Pulau Pinang, Pahang, Johor dan serata Malaysia dikumpulkan di Bangi Golf Resort.

“Dari durian kampung, D24, Duri Hitam hinggalah kegemaran ramai Raja Kunyit atau lebih dikenali sebagai Musang King menanti peminat durian kelak,” kata BK.

Selain dari pasar petani, festival ini juga akan dimeriahkan lagi dengan acara sokongan – Kejohanan Dunia Durian, Larian Durian dan Konsert Raja Buah.

Larian Durian akan menyaksikan peserta berlari bersama durian di dalam padang golf di Bangi Golf Resort. Dua kategori diadakan, Elit dan Fun Run dibuka untuk semua.

Konsert Raja Buah pula akan akan menghidangkan bukan sahaja persembahan dari artis terkenal tanah air, malahan jamuan makan malam yang diilhamkan oleh durian.

Pada sidang media yang sama, Bangi Golf Resort turut memperkenalkan Sahabat Durian Festival iaitu Sissy Imann, Fara Hezel, Wani Kayrie dan Raja Syahiran. Selebriti-selebriti ini adalah antara peminat durian dan akan turut serta memeriahkan festival kelak.

“Kita mahu Bangi menjadi sebuah tarikan pelancong di mana setahun sekali, keluarga dan sahabat handai dapat berkumpul, menikmati durian dari seluruh Malaysia dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang menarik,”

“Bangi Golf Resort juga dalam proses membangunkan hub durian sepanjang tahun tanpa mengira musim, dengan muzium durian, produk agro pelancongan dan pusat penyelidikandurian,” tambah BK Tan lagi.

Festival & Anugerah Durian Bangi Golf Resort tahun ini turut disokong oleh Mardi, Selangor FM (radio rasmi), F8Buzz.com (portal rasmi) serta penaja Dulai Fruits, AgroBridge, F&B Equipments dan Terra Security Monitoring Sdn. Bhd.

Untuk maklumat lanjut tentang  Festival & Anugerah Durian Bangi Golf Resort 2019 boleh layari www.durianfestival.my atau Facebook: BGRDurianFestival

Ruang komen
URTV
News Reporter