EMMA MAEMBONG dan KEITH FOO bersatu dalam JANGAN PADAM RINDU  

Drama bersiri “Jangan Padam Rindu” gandingan Emma Maembong dan Keith Foo, adaptasi novel karya Rina Farizq menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 11 Januari ini, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 4.00 petang menerusi saluran TV Okey (Astro 109).

Drama bersiri 20 episod, arahan Raja Ahmad Alauddin, terbitan Suhan Movies & Trading ini turut dibintangi oleh Arash Mohd, Catriona Ross, Isyariana, Mustaqim Bahadon, dan Nina Nadira.

Kisahnya bermula dengan Ellina yang menyangka Tuan Haji Mizan melamarnya untuk dijadikan isteri. Sudah semestinya dia tidak mahu bersuamikan lelaki tua. Ellina tidak mementingkan kebendaan meskipun dia sangat berkenan dengan telefon pintar yang Tuan Haji Mizan hadiahkan kepadanya. Tidak semudah itu Ellina akan jatuh hati dengan orang tua itu.

Mujur Ellina dan Tuan Haji Mizan tidak pernah bertemu, hanya berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp. Ellina lebih rela Tuan Haji Mizan yang bertongkat itu menjadi bapa tirinya. Bagaimanapun, Ellina tiada pilihan dan terpaksa akur dengan takdir itu. Tiba hari pertunangan, dia terkejut melihat bakat suaminya. Rupa-rupanya dia adalah Fauzan, pemuda yang pernah mencuri hatinya dua tahun lalu namun menghilangkan diri tanpa dikesan. Majlis pertunangan berlangsung meriah.

Ellina berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja ‘freelance’ dan menumpang tidur beberapa hari di rumah Akma. Fauzan membawa Ellina ke rumahnya dan menyangka Hani merupakan isteri Fauzan dan beliau bakal menjadi isteri kedua Fauzan. Banyak insiden yang menimbulkan persoalan berkaitan dengan layanan istimewa Fauzan terhadap Adib dan Hani. Ellina menunjukkan tanda-tanda cemburu dengan layanan Fauzan pada mereka berdua.

Hubungan mereka mengalami pasang surut apabila Hani kerap menghubungi Fauzan dengan alasan memintanya memujuk Adib. Pada masa sama Fauzan bersungguh menguruskan keperluan majlis perkahwinannya dengan Ellina. Ellina tambah buntu bila Fauzan mengunci mulut berkaitan soal Hani dan Adib.

Ellina berkongsi kerisauannya dengan Akma dan Akma juga mengadu pada Ellina tentang sikap Baem, lelaki yang diminatinya mula dingin dengannya. Fauzan cuba meyakinkan Ellina supaya tidak risau akan isu tersebut memandang hari perkahwinan mereka semakin hampir. Hani mengharapkan agar Fauzan terus tinggal bersama ibunya supaya akan sentiasa berada bersama Adib.

Remy, adik Fauzan pulang dari luar negara dan bekerja di syaraikat milik keluarga mereka. Remy terkejut dengan kehadiran Adib dan Hani di rumahnya. Dia cuba bertanyakan status Adib namun tiada seorang pun yang berterus-terang. Ellina terkejut kesungguhan Fauzan sanggup memanjat pagar rumah ibunya semata-mata untuk mengucapkan ‘I love you’ padanya.

Fauzan terserempak dengan Syam setelah 2 tahun beliau menghilang. Syam mengajak Fauzan untuk menjadi rakan kongsi dalam perniagaan yang sedang diusahakannya. Fauzan percayakannya hingga akhirnya tertipu dengan muslihat Syam. Syam juga terus-terusan mendekati Ellina. Pertemuan tanpa sengaja Syam dengan Ellina membuatkan Fauzan cemburu hingga mereka bergaduh besar. Ellina berjumpa Akma dan menyatakan hasratnya untuk ‘putus tunang’ dengan Fauzan.

Fauzan kecewa kerana percayakan Syam. Dato’ Idris terkejut dengan situasi tersebut dan berkongsi kekecewaannya dengan Tuan Haji Mizan. Ellina simpati dengan kejadian menimpa Fauzan dan mereka berbaik semula. Fauzan kembali ceria dengan layanan Ellina terhadap dirinya. Remy hairan dengan pengakuan Fauzan bahawa Adib merupakan anaknya dan dalam masa yang sama merancang akan berkahwin dengan Ellina. Ellina mengambil kesempatan mencungkil rahsia Hani siapakah bapa kepada Adib namun Hani sedaya upaya mengelak.

Majlis perkahwinan Ellina dan Fauzan berlangsung meriah. Fauzan dan Ellina berpindah untuk hidup sendiri. Mereka berbulan madu di Australia dan Fauzan juga perlu melihat perkembangan perniagaannya yang diuruskan oleh Mel. Fauzan masuk ke pejabatnya di Australia dan ketika itu Mel mengambil kesempatan untuk menggodanya.

Fauzan cuba mengelak dengan memberi alasan apabila Ellina mahu menemaninya ke pejabat. Sebenarnya Fauzan dan Mel pernah menjalin hubungan dahulu dan Mel tidak dapat menerima kenyataan yang Fauzan sudah berkahwin. Mel tidak berpuas hati dengan layanan dingin Fauzan dan menuduh Fauzan mempermainkannya.

Ellina mengajak Fauzan keluar bersiar-siar dan beliau mahu membelikan cenderahati untuk dibawa pulang ke Malaysia. Ellina melihat kerisauan Fauzan dan bertanyakan padanya namun Fauzan cuba mengelak dengan memberi alasan lain. Ellina berkongsi dengan Akma tentang perasaan sangsinya terhadap Fauzan.

Ketika bersiar-siar, mereka terserempak dengan Mel dan kemudiannya diperkenalkan pada Ellina. Ketika di pejabat, Fauzan mengingatkan Mel agar bersikap profesional dan memberi amaran supaya Mel tidak mengganggu dirinya dengan Ellina. Mel tidak berpuas hati kerana merasakan pengorbanan beliau pada Fauzan selama ini adalah sia-sia sahaja. Baginya, Fauzan yang dikenalinya sekarang berbeza Fauzan yang dikenalinya dahulu.

Ellina kecewa setelah melihat Mel memaut bahu Fauzan di depan rumah penginapan mereka pada waktu tengah malam. Ellina meminta Fauzan menjelaskan segalanya tentang Mel, Hani, Adib dan menjawab persoalan Ellina. Siapakah bapa kandung sebenar Adib? Adakah Fauzan berjaya menyelamatkan rumahtangganya dengan Ellina yang sentiasa dibayangi niat jahat Mel untuk memisahkan mereka?

Ruang komen

Please enter banners and links.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!