Eksklusif… RENDY FALIQ BUKAN ISLAM!

PENYANYI lagu Kata Hatiku , Rendy Faliq, 30an mengaku bukan Islam walaupun berpuasa, menjawab salam dan menjayakan majlis amal untuk anak –anak yatim.

“Ada kawan yang cakap, tak ada masalah kalau saya menjawab ucapan assalamualaikum . Ada yang menegur dengan mengatakan, tidak boleh  begitu kalau saya bukan orang Islam.

“Saya minta maaf kerana ramai tak tahu saya ini  bukan Islam tetapi Kristian. Ramai percaya, saya orang Islam.

“Peminat saya pun ramai beragama Islam. Jadinya, apabila kami berjumpa dan mereka memberi salam, niat saya menjawab tak lain, sebagai menghormati sesama kita. Tak ada niat nak  main-mainkan agama Islam,” katanya ketika membuat pengakuan eksklusif kepada URTV tentang dirinya, hari ini ( 11 Februari 2019).

“Kenapa menggunakan nama  Rendy Faliq? Bukan nak mengelirukan sesiapa. Bagi saya,  nama itu ada nilai komersial selain saya sendiri, sukakannya. Nama sebenar saya ialah  Andy Baru Francis,”  pengakuannya.

Berasal  dari Limbang, Sarawak ini,  Rendy  juga pernah mengerjakan ibadah puasa macam orang Islam pada bulan  Ramadan.

“Pada usia 23 tahun lagi saya dah ikut kawan-kawan Islam lain, berpuasa di Ramadan. Waktu itu, belajar di sebuah kolej.

“Andai suatu hari nanti,  mendapat hidayah,  saya nak belajar mendalami tentang Islam, “ ceritanya yang turut menjayakan program amal jariah di Rumah Titian Kasih bersama-sama peminat-peminatnya, baru-baru ini.

PUTUS TUNANG

RENDY yang berbangsa suku kaum Murut ini pernah bertunang dengan gadis sebangsa, bagaimanapun tidak bertahan lama.

“Waktu tu belum ada kerja tetap. Sekitar 2009, kami bertunang. Ikatan pertunangan dengan bekas kekasih bertahan, hanyalah selama 6 bulan sahaja.

“Memang betul, kesan putus cinta dan tunang meninggalkan perasaan sedih dan berasa serik, nak bercinta lagi.

“Pun begitu, tak tahulah kalau-kalau akan datang terbuka hati nak bercinta semula.  Setakat ini, walaupun ada perempuan yang mahu serius bercinta  saya beritahu,  biarlah dulu. Takut juga, kalau-kalau,  dikecewakan lagi ,” kata Rendy  yang gembira selepas singlenya menjadi lagu OST Lelaki Kiriman Tuhan ia turut mendapat sambutan  tontonan youtube melebihi 200,000 orang.

KENA HALAU

PERNAH kena halau dan `merempat’ di tengah Kuala Lumpur.

“Sewaktu datang ke sini  mencari kerja tetap,  saya duduk menyewa dengan kawan-kawan.

“Bagaimanapun,  setelah hampir dua tahun saya berdepan masalah kewangan. Kawan tak boleh terima kesusahan saya apabila beberapa bulan tak dapat bayar duit sewa.

“Bila kena halau oleh kawan sendiri, tak ada tempat tinggal kenalah merempat di kawasan Bukit Bintang. Itu antara peristiwa sedih pernah saya lalui ,sekitar tahun 2011.

“Saya belajar tentang hidup apabila susah kawan sendiri belum tentu sudi membantu. Ia mengajar, diri untuk lebih berhati hati dalam berkawan, bukan semua yang sudi ada waktu susah dan senang,” katanya terkenang saat `jatuh ditimpa tangga’ dan bersyukur  hari ini, rezekinya murah sebagai penyanyi dan bekerja tetap dengan sebuah jabatan kerajaan (yang terpaksa dirahsiakan).

HATI-HATI TAWARAN LUAR NEGARA

TURUT simpati dengan kes rakyat Malaysia kena tipu dengan baru-baru ini, Rendy Faliq menasihatkan semua orang agar berhati-hati apabila mendapat tawaran atau mahu mencari kerja di luar negara.

“Tawaran di internet, jangan ambil  mudah. Kaji, selidik dan siasat betul-betul.  Kalau ditawar jawatan apa pun, pasti kesahihannya. Jangan berulang kes 47 orang rakyat Malaysia kena tahan di Kemboja, dipercayai kena tipu pihak sindiket pemerdagangan manusia baru-baru ini.

“Janji nak berikan tawaran lumayan, bila sampai di sana segala yang dijanjikan,  adalah palsu” kata Rendy yang  terkejut dengan kes yang turut melibatkan remaja dari  Sarawak.

LAWAN PEMINAT IPPO HAFIZ

PEMINAT peminat kelab peminat  Rendy Faliq dengan Ippo Hafiz  akan `berentap’ pada 15 Mac ini.

“Kelab peminat artis Rendy Faliq dengan Ippo Hafiz bersetuju menganjurkan satu kejohanan badminton.

“Terima kasih Kelab Rendynatics,  (kini diikuti oleh 400,000 orang peminat) sudi bekerjasama.  Saya dan Ippo teruja  untuk menjayakan salah satu aktiviti sihat melibatkan peminat-peminat kami,” katanya.

“Akan diadakan di Lavena Sports Centre,  Taman Danau Kota. Nama kejohanan  Lelaki Kiriman Tuhan Vs Pujaan Hati Kanda  sempena lagu saya  dan Ippo,” ceritanya mengakhiri perbualan.

Pendek kata pertembungan peminat drama Astro dengan TV3 jugalah ya?  Semoga acara  anjuran Rendy Faliq MG MT dan Ippo Hafiz berjalan lancar. Siapakah  yang akan  menang dan kalah?

Kita tunggu keputusannya, pertengahan Mac nanti. Yang pasti Rendy dan Ippo juga bakal menyaksikan kemampuan dalam gelanggang.

Ruang komen

Please enter banners and links.

Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!