EDEAN AZMAN sedar bukan mudah meraih populariti

KALAU nak berjaya, memang perlukan usaha gigih dan pengorbanan. Kata orang, kejayaan tidak datang bergolek.

Begitulah prinsip hidup penyanyi baru yang mempunyai senyuman manis Edean Azman, 25, yang baru sahaja melancarkan lagu baharunya berjudul Gerak Hati di Ampang, semalam.

Sebelum ini Edean muncul dengan lagu Cerita Hati.

Cerita Edean, “Saya sedar bukan senang nak berjaya dan popular. Ada yang cepat popular dan ada yang memerlukan sedikit masa atau lebih. Bergantunglah kepada soal rezeki.

“Lagi pun saya baru hampir dua tahun jadi penyanyi. Ramai lagi penyanyi lain yang tidak berputus asa walaupun sudah bertahun-tahun menyanyi.

“Namun, demi minat saya terhadap nyanyian, saya akan terus berusaha sekalipun terpaksa mengeluarkan bajet sendiri untuk menghasilkan lagu.

“Saya bukannya berasal dari keluarga senang, namun saya rela kumpul duit sendiri serta mengharapkan bantuan keluarga dan kawan-kawan.

“Terima kasih juga kepada kawan-kawan rapat yang sudi membantu saya secara sukarela tanpa bayaran. Hanya Allah yang mampu membalasa jasa mereka. “

Luah Edean yang berharap lagu Gerak Hati yang baru dilancarkan malam tadi mendapat perhatian peminat industri muzik.

Sambungnya, “Gerak Hati mengisahkan seseorang yang mempunyai masalah psikologi. Dia merasakan dirinya sentiasa diekori dan diperhatikan sepanjang masa.

“Saya yakin, pasti ada antara anda di luar sana yang mengalami atau mempunyai kawan yang mempunyai masalah sebegini. Kalau nak tahu lebih lanjut pasal lagu Gerak Hati ni, kenalah dengar.

“Saya terima apa sahaja kritikan positif mahu pun negatif. Saya pun perlu belajar banyak lagi untuk terus berikan yang terbaik dalam nyanyian.”

Jangan lupa dengar lagu Cerita Hati dan Gerak Hati nyanyian Edean Azman ya! Instagram: @edeanazmn.

Foto: ZULHILMI ZAINI

Deel Anjer
News Reporter
error: Content is protected !!