Sudah letih ‘jadi’ NIKE ARDILLA, DIANA CHORA muncul dengan imej sendiri

BUKAN senang sebenarnya mahu ‘jadi’ orang lain, apatah lagi insan tersebut popular dan mempunyai peminat yang ramai.

Begitulah yang terjadi kepada penyanyi Indonesia cantik Diana Chora,36, atau nama komersialnya sebelum ini, Dike Ardilla.

Lebih 10 tahun, Diana disuruh ‘menjadi’ Allahyarham Nike Ardilla. Daripada nama Dike Ardilla yang mirip nama arwah, sehinggalah fesyen serta penampilan segalanya bersandarkan Nike.

Tidak mudah untuknya membawa karakter Nike yang sangat popular sebelum meninggal dunia akibat kemalangan kereta pada tahun 1995.

Cerita Diana Chora, “Sejujurnya sangat berat dan sukar sekali apabila disuruh ‘menjadi’ penyanyi yang hebat seperti Allahyarham Nike Ardilla. Ia bermula apabila komposer popular Allahyarham Deddy Dores mengambil saya sebagai anak didiknya.

“Katanya, karakter suara, gaya rambut dan penampilan saya seakan-akan arwah Nike Ardilla. Jadi, Deddy membentuk saya menjadi penyanyi yang ‘berkiblatkan’ Nike Ardilla.

“Saya bukan menggantikan Nike, tetapi hadir untuk mengubati kerinduan para peminatnya dan itu juga kehendak syarikat rakaman.

“Tambah pula, Deddy memang selalu bekerjasama dengan Nike Ardilla sepanjang hayat mereka.

“Pada mulanya, saya seronok membawa karakter Nike. Namun, lama-kelamaan saya rasakan sangat berat untuk menjadi dia. Tambahan pula, ada segelintir peminat Nike yang marah dan tidak suka saya muncul sebagai Nike.

“Mujurlah ketika itu, tiada laman sosial. Jadi saya tidak teruk dikecam peminat setia Nike.

“Apakan daya, saya perlu meneruskan karakter tersebut kerana mengikut kontrak yang telah ditandatangani. Kadang-kadang rasa terbeban juga.

“Apa-apa pun saya tidak pernah rasa menyesal kerana saya faham strategi syarikat dalam bisnes muzik mereka. Lagi pun, banyak pengalaman yang saya perolehi apabila bersama pengurusan ini.”

Luah Diana Chora yang pernah menghasilkan empat album. Bermula dari tahun 2000 hingga 2008, Diana muncul dengan album berjudul Salah Sendiri dan Aku Harus Bagaimana. Album ketiga menampilkan lagu duetnya bersama Deddy berjudul Berikan Setitik Air. Album keempat pula berjudul Sepihan Kasih.

Jadi Diri Sendiri

Selepas tamat kontrak dengan syarikat rakaman pada tahun 2008, Diana kembali menggunakan nama sendiri sebagai penyanyi.

Katanya, “Saya mahu menjalani kehidupan sebagai artis dengan nama dan identiti sendiri. Ia memang mengambil masa untuk mengubah persepsi peminat.

“Untuk itu, saya berehat seketika untuk mencari lagu-lagu yang sesuai dengan imej saya sekarang dan mahu lari dari imej Nike Ardilla.

“Saya bergerak melalui syarikat saya sendiri, Diana Chora Indonesia dan turut menghasilkan dua lagu baru iaitu Kaulah Matahariku dan Merindumu.

“Syarikat rakaman dahulu enggan buka jalan ke Malaysia. Sekarang langkah saya lebih luas. Saya yakin peminat di sini juga boleh menerima saya dengan baik seperti mereka terima artis Indonesia lain.”

Perubahan imej Diana Chora akhirnya membuatkan peminat tercari-cari ke mana hilangnya Dike Ardilla.

“Nak tahu, ramai peminat tercari-cari ke mana saya menghilang. Mereka akhirnya terkejut apabila saya tampil dengan imej dan nama sendiri, namun boleh terima lagu saya.” Luah Diana Chora yang pernah merakamkan semula lagu Rindu Serindu-Rindunya nyanyian asal kumpulan Spoon.

Diana Chora yang popular di Jawa Barat dan Kalimantan ini semakin dikenali di Malaysia selepas mempromosi lagu terbarunya Kaulah Matahariku.

Dalam pada itu, Diana juga seorang ‘trendsetter’ fesyen yang aktif mengeluarkan produk sendiri seperti tudung, pakaian, kosmetik dan aksesori. Dia menjual produknya secara dalam talian atau e-commerce di alamat dianachora.com.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Diana Chora, peminat boleh layari laman sosial instagram @dianachora.official.

Peminat juga boleh baca kisah Diana Chora dalam Majalah URTV nanti. Semoga Diana terus sukses ya! Amin…

FOTO: Koleksi Diana Chora

Deel Anjer
News Reporter
error: Content is protected !!