“Dia lelaki sederhana yang luar biasa” – DAYAH BAKAR

ALHAMDULILLAH… Tahniah URTV ucapkan buat pengacara popular Dayah Bakar, 28,  dengan sekali lafaz sah menjadi isteri kepada Kapten Muhammad Hanif Hamidi,28, pada jam 9.38 pagi ini (29 Jun 2018).

Dayah atau nama sebenarnya Nur Hidayah Abu Bakar menerima mas kahwin bernilai RM300 serta tujuh dulang berbalas sembilan dulang daripada pihak pengantin lelaki. Wang hantaran pula dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Pasangan yang dinikahkan oleh bapa Dayah sendiri ini berlangsung di 9Kedondong, Ampang Hilir, Kuala Lumpur.

Dayah sempat berkongsi dengan URTV tentang keistimewaan suaminya.

“Hanif selalu cakap kepada saya yang dia tiada apa-apa keistimewaan. Di mata saya, dia seorang lelaki sederhana yang luar biasa.Cukup istimewa bagi saya.

“Dari dulu lagi kami selalu mementingkan sikap beterus terang dalam apa jua keadaan. Pahit macam mana pun, kami harus beritahu hal yang sebenar dan kami berjanji tidak akan sorok-sorok.

“Nak tahu, bila kita menyembunyikan sesuatu walaupun hanya perkara kecil, ia boleh merosakkan hubungan serta kepercayaan antara pasangan. Jadi, Itulah (sikap terus terang) yang kami amalkan untuk mengekalkan hubungan ini dari dulu sampailah ke akhir hayat, insya Allah.

“Selain itu, saya juga tertarik dengan ilmu agamanya, caranya menghargai saya dan paling penting dia sangat menghormati yang tua mahu pun muda.

“Bukan itu sahaja, perbezaan perangai juga sebenarnya melengkapkan lagi kebahagiaan kami. Saya ni banyak cakap (peramah), maklumlah… kerja pun sebagai pengacara kan! Hanif pula seorang yang pendiam tetapi sangat tegas.”

Cerita Dayah yang sudah muncul dengan lagu Imamku yang ditujukan khas buat suaminya. Lagu yang merupakan luahan hati Dayah sendiri ini mengisahkan seorang  wanita meluahkan isi hati tentang ciri-ciri lelaki yang dimahukan.

Majlis persandingan pasangan bahagia ini akan diadakan pada 1 Julai (Ahad ini) di Cornerstone (IPC), Wisma Selangor Dredging, Ampang, Kuala Lumpur. Manakala majlis bertandang pula pada 7 Julai ini di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Hanif dan Dayah bertunang pada 25 November tahun lalu. Mereka juga pernah jadi rakan di sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah King George V, Seremban, Negeri Sembilan.

Pasal kerjaya, Dayah kini jadi hos dalam rancangan Sis (TV3) bersama Heliza Helmi  dan program infotainment (TV3). Sebelum ini Dayah pernah mengacara untuk rancangan Nasi Lemak Kopi O (TV9) dan Jom Singgah (TV3).

Manakala suaminya, Hanif berkhidmat di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Johor.

URTV doakan Dayah dan Hanif bahagia selamanya hingga ke syurga. Amin…

Foto: Instagram @dayahbakar

Jom tonton muzik video lagu Imamku, lagu yang ditujukan khas buat suami Dayah, Hanif

Ruang komen
Deel Anjer
News Reporter
error: Content is protected !!