Di lokasi dengan bekas kekasih, SHERRY IBRAHIM BUAT PILIHAN

DUA kali cintanya dengan hero popular dalam dunia hiburan bagai pinggan jatuh ke lantai..hancur berkecai. Menanti janji, namun berkesudahan dengan perpisahan.

Kedua-dua bekas kekasihnya itu, kini sudah menjadi suami orang. 

Yang pertama, punya lebih satu isteri (bukan artis) dan yang kedua pula, sudahnya, berkahwin dengan seorang aktres.

“Saya redha…walaupun ia menyedihkan…mengguris perasaan. Dengan mereka berdua, usia percintaan kami  bertahan hanya dua tahun, baik yang pertama mahupun kedua. 

“Pun begitu, saya masih boleh berlakon sama dengan bekas kekasih pertama tu, jika ada tawaran, bagi saya tak ada masalah  tetapi tidak dengan yang kedua,” dakwa aktres cantik Sherry Ibrahim kepada URTV Online, waktu kami berdua, berbual petang semalam.

“Saya tak bersedia dan tak mahu menerima tawaran untuk kami berlakon sama, bukan soal masih merajuk, terkilan tapi saya memang tak mahu. Hati belum terbuka untuk bekerjasama dengannya dalam satu produksi,” tegasnya.

Bagaikan syair lagu…. jangankan bertemu di alam realiti, di alam mimpi pun tak diingini ya? 

Sherry boleh melupakan tapi mungkin tindakan perpisahan bekas kekasih  meninggalkan luka yang dalam di hati. 

Buat waktu ini, Sherry bukan sahaja sibuk bukan saja di lokasi, malah wanita lingkungan usia pertengahan 30an ini, sibuk dengan perniagaan jenama tudung sendiri, Sherry Scarves dan dalam proses menerbitkan alat solekan jenama sendiri tak lama lagi.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki baik kerjaya dalam bidang lakonan mahupun perniagaan,” katanya.

Ditanya setelah hati pernah tercalar dengan janji manis lelaki dalam dunia hiburan, apakah kini sudah menemui pengganti? Dalam senyum bermakna, bekas pramugari Penerbangan Malaysia (5 tahun) dan Qatar Air (3 tahun ini),  mengaku sedang berkawan dengan seseorang.

“Umur kami sebaya, dia junior saya sewaktu kami bertugas sebagai krew kabin di Penerbangan Malaysia. Saya menyertai syarikat itu, ketika usia 18 hingga 22 tahun setelah banyak tawaran berlakon.

“Dia baik, orangnya juga minat dalam perniagaan dan setakat ini tak buat saya berasa curiga terhadap dirinya. Hampir setahun berkawan rapat. Insya Allah, jika ada jodoh …tahun depan atau sampai waktunya, saya akan umumkan.

“Buat waktu ni, gambar dengannya saya tak dedahkan di laman sosial pun dan tak bersedia memperkenalkan kepada rakan media. Kalau pernah ada, memuatkan fotonya di laman instagram saya…pun separuh badan  saja. 

“Tentang cinta, saya belajar untuk berhati hati, bersandar kepada kenangan pahit di masa lalu saya berwaspada, saya juga yakin dan berdoa ada hikmah Allah takdirkan di sebalik kelukaan cinta lalu, mungkin cinta terkini, lebih baik,” kata anak sulung tiga adik beradik yang keluarganya menetap di Petaling Jaya.

Sama sama kita mendoakan cintanya dengan bekas pramugara Penerbangan Malaysia akan melakar bahagia, di dunia dan akhirat, terbang tinggi sampai ke Jannah. Amin.

Terkini, Sherry sibuk di lokasi program Cerita Bintang terbitan A. Aida Production selain memenuhi undangan produksi lain untuk drama drama terbitan Astro dan TV3.

Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!