Debaran hati Tash Yong

Foto:FAIRUZ IZYANA AYUB

Pelakon Tash Yong mendedahkan dia kini sedang berdebar menanti sesuatu yang akan mengubah kerja seninya.

Tash atau nama sebenar Nur Natasha Shazlia Rosli yang mula menceburi bidang lakonan menerusi telefilem Kerana Anggun arahan Aziz M Osman pada 2013 bakal bergelar penyanyi dengan kemunculan single debut yang dijangka menemui peminat tidak lama lagi.

“Mungkin ramai yang tidak tahu selain berlakon, saya juga minat pada bidang nyanyian. Insya Allah tidak lama lagi saya akan muncul dengan single pertama pada September ini.

“Impian untuk keluar dengan lagu sendiri sudah lama. Tapi saya tangguhkan kerana tidak mahu terburu-buru agar dapat muncul dengan lagu berkualiti yang akan memberi kepuasan pada diri saya malah pada pendengar.

“Judul lagu tersebut masih dalam perbincangan dan apa yang boleh saya kongsi adalah lagu tersebut berentak balada.

“Sudah semestinya saya rasa berdebar menunggu komen dan reaksi pendengar. Jika lagu itu tidak mendapat sambutan, saya tidak akan mengalah dan jadikan ia sebagai semangat untuk bekerja lebih keras menghasilkan apa yang pendengar inginkan,” ujar anak kepada komposer lagu terkenal era 80an, Rosli Selasih.

Dalam perkembangan lain, Tash juga bakal muncul dalam filem Hero: Jangan Bikin Panas yang diarahkan oleh Azizi Chunk Adnan.

Filem bergenre aksi komedi berkisar tentang sepasukan anggota bomba merungkai misteri kebakaran pusat tahfiz itu akan menemui penonton dipawagam bermula 3 Oktober 2019.

“Dalam filem ini saya melakonkan watak Suraya, seorang anggota bomba yang ceria dan suka bergurau tetapi serius apabila soal kerja.

“Saya terima tawaran berlakon dalam filem ini sebagai satu cabaran pada diri saya. Kalau nak tahu, saya ini seorang yang lasak. Jadi tiada masalah untuk saya lakonkan watak sebagai anggota bomba.

“Hero: Jangan Bikin Panas bukan hanya tertumpu pada kisah kehidupan seorang anggota bomba tetapi membawa tema positif tentang keberanian, kesetiaan dan semangat nasionalisme yang mampu memberi nilai-nilai murni kepada penonton,” cerita Tash tentang filem kedua lakonannya selepas filem Kastil Tua (2016).

Selain Tash, Hero: Jangan Bikin Panas turut menampilkan barisan pelakon antaranya Hisyam Hamid, Bell Ngasri, Mark Adam, Elisya Sandha, Riz Amin, Tauke Jambu, Shaharuddin Tambi, Datuk Jalaludin Hassan dan ramai lagi.

Ruang komen

Please enter banners and links.

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!