
PEMILIK syarikat pengurusan haji dan umrah A&M Berkat Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Haji Radzi Mansor berhasrat menamatkan alam bujangnya dengan mengahwini penyanyi Zehra Zamri.
Pertemuan URTV dengan Datuk yang berasal dari selatan tanah air ini baru- baru ini, menyaksikan kesungguhan usahawan muda ini ingin menamatkan alam bujangnya dalam waktu terdekat .
“Saya pun sudah menjangkau usia 37 tahun. Pernah berdoa sebelum ini mahu dapat jodoh dengan orang yang baik-baik.
“Tahun lalu saya telah berkenalan dengan abang Zehra . Beliau bekerja sebagai salah seorang cef di tanah suci. Ketika itu saya diperkenalkan kepadanya oleh Syed Wafa, salah seorang jemaah umrah Malaysia di tanah suci.
“Dari situlah kemudiannya saya berpeluang mengenali Zehra. Selepas mendapat izin abang dan kakak iparnya, baru-baru ini saya mengajak Zehra dan kawan kawan keluar makan bersama-sama di sebuah gedung belah belah berdekatan pejabat.
“Itulah pertemuan pertama saya dengan Zehra. Sesudah itu, sering berhubung di telefon dan berbalas pesanan ringkas jika masing-masing tak sibuk. Maklumlah saya juga tak selalu di sini sebab menguruskan urusan umrah jemaah Malaysia di tanah suci.
“Tentang status Zehra ( sudah bercerai dengan bekas suami lebih setahun lalu), bukan satu masalah untuk saya menjadikannya, pasangan hidup,” ujar Datuk Radzi.
“Apa pun, terlebih dahulu saya akan bertemu dengan kedua-dua orang tua beliau dan berbincang dengan famili untuk merisik dan meminang Zehra, akhir tahun ini,” tambahnya lagi.
Ketika menghubungi Zehra dan ditanyakan hajat Datuk Razdi, jawabnya,“Zehra jenis orang yang positif . Pernah diuji dengan perkahwinan lalu yang tak bertahan lama, bukan halangan untuk meneruskan hidup atau enggan berkahwin lagi.
“ Kalau dah ada jodoh lagi, sedia menerima. Tentang Datuk Radzi, orangnya baik dan berterus terang. Seperti orang lain pun Zehra, selalu berdoa, memohon kehidupan yang baik-baik.”
Segala kelukaan episod cerita lalu, baginya bukan menjadi penghalang meniti masa depan yang lebih indah.
Beliau kini lebih sibuk dengan kerjaya sebagai wartawan berbanding menyanyi. Katanya, lebih seronok menumpukan fokus kepada bidang penyiaran yang mencabar.
Semoga kedua-duanya menemui bahagia hidup yang berkekalan sampai ke syurga andai ditakdirkan bertemu di mahligai perkahwinan sebagaimana diimpikan.
Jika dah dapat lampu hijau untuk hidup berdua, jangan lupa mengundang URTV.
Ruang komen