Datuk Cef Wan VS Cef Martin, pasukan siapa bakal bergelar Raja Sawit?

Dua ikon cef selebriti terkemuka tempatan di peringkat global iaitu Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Datuk Cef Wan dan Cef Martin Yan bakal bergabung tenaga sebagai mentor dan hos dalam program realiti TV terbaharu TV3, ​Raja Sawit ​yang akan bersiaran pada ​setiap hari Sabtu, pukul 6.00 petang bermula 8 Jun 2019.

Raja Sawit merupakan pertandingan masakan program realiti TV pertama yang menampilkan pelajar-pelajar kulinari terbaik di Malaysia yang akan bersaing antara satu sama lain dengan menggunakan minyak sawit sebagai asas masakan mereka.

Sebanyak 16 pelajar iaitu setiap dua pelajar kulinari terbaik daripada lapan kolej kulinari terkemuka di Malaysia dijemput secara eksklusif untuk menyertai program ini iaitu ​SEGI University Kota Damansara, UNITAR International University, UCSI University, BERJAYA University College, UITM Puncak Alam, YTL International College of Hotel Management, HELP College of Art and Technology ​dan ​INTI International College Subang.

Menurut K​etua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak, “Sebagai tanda sokongan pihak stesen kepada kempen kerajaan – ​Sayangi Sawitku yang bertujuan menggalakkan penggunaan minyak sawit secara meluas dalam kalangan rakyat Malaysia, TV3 memperkenalkan program Raja Sawit yang mengetengahkan minyak sawit sebagai asas masakan.

“S​ejajar dengan matlamat program ini untuk mengetengah dan mempersiapkan chef terbaik untuk generasi akan datang yang dapat berkhidmat di peringkat global dengan memasak menggunakan minyak sawit, kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan dua ikon dunia masakan dan rakan-rakan penaja untuk menjayakan program ini.

“Kami yakin bahawa para peserta dapat menerima manfaat besar dengan perkongsian ilmu, pendedahan kemahiran dan teknik memasak untuk memulakan kerjaya sebagai seorang cef pada masa hadapan.”

Disegani sebagai ikon masakan Malaysia, ​Datuk Cef Wan merupakan satu-satunya cef selebriti Malaysia yang aktif sebagai ​hos program TV, seorang usahawan, pengkritik makanan, penulis buku resipi, penerima ‘ratusan’ anugerah dan duta pelancongan & kebudayaan Malaysia. ​

Cef Martin Yan, ​satu nama besar yang pernah menjadi hos lebih daripada 3,000 program masakan di seluruh dunia, termasuk ‘Yan Can Cook’, beliau juga seorang ‘Master Chef’ yang diiktiraf, perunding makanan, pengajar masakan dan penulis yang terkenal turut serta untuk menjayakan program ini.

16 peserta akan dibahagikan kepada 8 pasukan yang mewakili kolej kulinari masing-masing. Mereka mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada dua mentor program iaitu ​Datuk Cef Wan ​dan ​Cef Martin Yan​.

Sepanjang 6 episod ini, kesemua peserta akan menaiki bas ‘Raja Sawit’ ke pelbagai lokasi untuk merasai pengalaman memasak menggunakan sayuran dan ikan segar melalui konsep ‘ladang ke meja’.

Bermula pada episod ketiga, para peserta akan berhadapan dengan sesi penyingkiran.

Hanya 3 pasukan terbaik layak mara ke pusingan akhir pada episod keenam. ​

Pasukan terbaik bakal memenangi gelaran ‘Raja Sawit’, setiap ahli akan menerima trofi dan sijil pengiktirafan yang ditandatangani oleh Datuk Cef Wan, Cef Martin Yan dan juga Menteri Industri Utama, YB Puan Teresa Kok; sebuah apron eksklusif ‘Raja Sawit’; penginapan 3 hari 2 malam di ​The Banjaran Hotsprings Retreat ​bernilai RM10,000 seorang; latihan praktikal di restoran De. Wan 1958 milik Datuk Cef Wan; dan pisau yang ditandatangani oleh Cef Martin Yan sendiri.

Sidang media ​Raja Sawit yang telah berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama pada 21 Mei lalu diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, ​Yang Berhormat Puan Teresa Kok, Menteri Industri Utama Malaysia dan Encik Seelan Paul, Ketua Pegawai Eksekutif Ripple, Media Prima Berhad​.

Jangan ketinggalan untuk saksikan ​Raja Sawit ​bermula pada ​8 Jun 2019, setiap hari Sabtu, pukul 6.00 petang ​di TV3.

Ruang komen
URTV
News Reporter
error: Content is protected !!