‘BIMBANG’ buat MARSHA sebak

Penyanyi Marsha Milan Londoh atau lebih dikenali sebagai Marsha Milan akui sebak apabila muncul dengan single baharu berjudul Bimbang.

Menurut Marsha, lagu ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Amylea Azizan itu amat dekat dan membuatkan dia terkenang perjalanan kehidupannya.

“Lagu Bimbang mengisahkan tentang kebimbangan seorang wanita apabila pasangannya mencintai wanita lain.

“Walaupun lirik lagu ini mengisahkan tentang seorang wanita diduakan, tapi sebenarnya ia juga boleh dikaitkan dengan perkara lain seperti kehidupan. 

“Saya melihat lagu ini daripada perspektif berbeza dan mendapati ia ada kena mengena serta sangat dekat dengan kehidupan saya,” cerita Marsha ketika ditemui URTV di majlis pelancaran single dan muzik video Bimbang di Red Box, The Gardens Mall, Mid Valley, Kuala Lumpur pada Isnin.

marsha

Menariknya lagu dan muzik video single Bimbang yang juga bakal menjadi antara lagu runyut bunyi (OST) drama Nur 2 ini diterbitkan sendiri oleh Marsha menerusi syarikatnya, Marsha Londoh Entertainment.

“Lagu ini sangat istimewa kerana saya sendiri bekerja keras menyiapkan lagu dan juga muzik video single ini.

“Hampir 90 peratus saya terlibat dan saya rasa sebak kerana usaha keras penat lelah selama ini membuahkan hasil yang sangat memuaskan.

“Proses untuk menyiapkan lagu dan muzik video lagu ini amat mencabar terutamanya daripada segi kewangan sebab bergerak sendiri bersama pengurus sejak tahun 2008.

“Alhamdulillah, dalam kesukaran itu ada penaja yang hadir membantu. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Natalis Herbs & Beauty selaku penaja utama muzik video lagu Bimbang serta Kementerian Pelancongan Malaysia yang memberi sokongan bagi melancarkan proses penggambaran,” kata Marsha.

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!