Bila nampak muka artis…ABBAS BAKAR terharu

TERHARU. Sebak dan berterima kasih. Itulah yang diungkapkan oleh komposer, penulis lirik dan pengurus acara  Abbas Bakar, 67, mengenangkan, saat diziarahi rakan-rakan artis ketika terlantar sakit.

“Mamu terasa sebak bukan pasai  apa? Maklumlah, bila terlantar, hati gembira tengok artis-artis sudi nak  datang ziarah Mamu di wad dan rumah. Mereka tak lupa pada Mamu. Maklumlah,  ada di antara mereka  ni, Mamu pernah tuliskan lirik untuk  lagu-lagu nyanyian masing-masing.

“Terima kasih Datuk DJ Dave, Datuk Nassier Wahab, Azlina Aziz dan ramai lagi termasuk anak anak seniwati Allahyarham Mariani  Ismail juga anak seniman Allahyarham Datuk Mustapha Maarof sudi datang tengok Mamu sewaktu dan selepas keluar wad,” katanya yang membahasakan dirinya sebagai Mamu, kepada URTV.

Beliau bersyukur keadaannya beransur sembuh setelah menjalani rawatan pembedahan pintasan atau bypass jantung di Institut Jantung Negara ( IJN) sebelum Ramadan tahun ini.

“ Mamu ni dah 10 tahun asyik berasa sesak nafas dan paling serius  pada 8 Disember tahun lepas.  Mamu rasa lain macam ketika itu dalam kereta sekitar 7.00 malam,  mujurlah sempat menghubungi pihak ambulans dan  Mamu kemudian dimasukkan dalam wad di Hospital Kuala Lumpur (HKL)

“Sesak nafas akhir tahun lepas itu memang lain macam dan doktor mengesahkan, Mamu ni dah lama ada masalah sakit  jantung. Pada 8 Januari tahun ini Mamu menjalani rawatan anglogram di Institut Jantung Negara kerana banyak kolesterol tersumbat pada jantung. Mamu kenalah berulang alik ke HKL  sampailah bulan Februari.

“Pada 5 Mac Mamu kena buat pembedahan bypass dan 14 Mac barulah keluar wad dan keadaan Mamu  kenalah duduk atas  kerusi roda. Ni alhamdulillah, bila  masuk bulan puasa, dah boleh jalan pakai tongkat dan menghadiri majlis kawan-kawan artis veteran, terima kasih kepada yang ingat kepada Mamu,” akuinya yang sudah berhenti merokok dan berpantang makan sesudah pembedahan serius itu.

Bagi yang tak mengenali beliau,  pasti  kenal pada lagu lagu dengan lirik tulisannya. Berikut antara 200  liriknya yang popular ialah lagu  Hingga Tiba Saat Itu ( Datuk Jamal Abdillah), Tangisan  Di Sebalik Senyuman ( Muhaini Suratman) , Dimana Kata Di Mana Janji ( Razis Ismail),  Seikhlas Mana Hatimu ( Azlina Aziz),  Kini Ku Jatuh Cinta Lagi ( Zaleha Hamid),  Dalam Mimpi Ku Bertemu ( Quinary M), Ku Bawa  Rahsia Cinta ( Datuk Nassier Wahab),  Ku Bawa Luka Di Hati ( Azlina Aziz),  Cinta dan Rumah Tangga ( Allahyarham Datuk Sharifah Aini),  Kau Di Sudut Hatiku ( Azizah Basri),  Di Sini Saja ( Herman Tino),  Adakah Rindu Masih Ada Di Hatimu ( Rahimah Rahim),  Tiada Lagi Harapan ( Datuk DJ Dave),  Kerana Sentuhan (Allahyarham Noreen  Noor),  Munginkah Terjadi Perpisahan ( Najib Haniff),  Pandang Boleh Saja ( Azlina Aziz) dan banyak lagi.

Beliau pernah bekerjasama dengan komposer terbilang tanah air antaranya  Datuk Dr Ahmad Nawab, Fauzi Marzuki, Kenny Remy Martin, Datuk A. Rahman Hassan,  Omar Taib dan Manan Ngah.

“Kali pertama diberi peluang  menggubah lagu dan menulis lirik untuk Uji Rashid  (judul  Penawar Dihati). Lagu yang menjadi kenangan indah apabila diberi peluang menulis lirik lagu Mutiara Pusaka (nyanyian Allahyarham Datuk Ahmad Daud) sebuah lagu Boria oleh Pi Mai Pi Mai Tang Tu nyanyian Artis Anak-Anak Pulau Pinang,” ceritanya yang juga pernah berkhidmat dengan Telekom Malaysia tak lama dulu.

“Mamu ni masih nak menulis lirik jika ada peluang. Kali terakhir menulis untuk Datuk Jefrydin pada 2014 dengan judul Seribu Janji, Rayuanku, Keindahan Alam dan Zaleha Hamid pada tahun sama lagu judul Kini Ku Jatuh Cinta Lagi,” tambah Mamu lagi.

Kepada Mamu Abbas Bakar, URTV harap akan kembali sejahtera dan menjaga pantang makan dan minumnya serta akan dapat meneruskan hasratnya sebagai penulis lirik.

Ruang komen

Please enter banners and links.

Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!