“Bergaduh, bermasam muka dan merajuk perkara biasa” – PROJECTOR BAND

Foto: ROHAIDA ZULKIFLI

Sudah lumrah apabila ramai ‘kepala’ dalam sebuah kumpulan, pasti akan berlaku perselisihan faham antara ahli kumpulan.

Kumpulan Projector Band yang diisi oleh Iskandar Zulkarnain Shafin, 26, (vokalis); Muhammad Safiq Zainuddin, 25, (dram); Razif Zainuddin, 27 (gitaris); Zainal Amir Hamzah, 24, (gitaris kedua) dan Ahmad Khusairi Shaferi, 29, (bes) turut mengakui hal tersebut sering terjadi dalam kumpulan mereka.

Menurut Iskandar, perkara seperti itu adalah normal tapi ia tidak menggangu atau memberi kesan kepada perjalanan band yang popular dengan lagu Aishah ini kerana mereka tidak menyimpan perasaan jika berlaku perselisihan faham antara mereka.

“Perselisihan faham pasti akan berlaku dalam mana-mana kumpulan sekali pun. Kami juga tidak terkecuali.

“Jika ada masalah, kami akan selesaikan secara baik dan cepat. Setakat ini kami tidak mempunyai sebarang masalah besar. Bergaduh, bermasam muka dan merajuk adalah perkasa biasa dalam band.

“Kalau ada masalah atau rasa tidak puas hati, kami ada duduk berbincang dan selesaikan dengan cepat,” kata vokalis Projector Band ini.

Setelah muncul dengan beberapa hit sebelum ini, lima anak muda ini kini sedang sibuk mempromosikan single ketujuh mereka berjudul Cinta Kita.

Menurut Razif atau mesra dengan panggilan Angah, single terbaharu ini adalah istimewa kerana merupakan kesinambungan lagu Aishah.

“Sekarang ini kami sedang sibuk mempromosikan single ketujuh berjudul Cinta Kita lirik oleh saya dan lagu oleh Puyu.

“Konsep lagu Cinta Kita ini sama seperti single ketiga kami iaitu Aishah dan menariknya lagu ini adalah sambungan kepada lagu Aishah.

“Alhamdulillah, setakat ini penerimaan peminat terhadap lagu Cinta Kita amat baik dan maklum balas yang diterima juga adalah sangat positif,” kata Angah yang turut menyumbang suara dengan menyanyikan bahagian rap dalam lagu Cinta Kita.

Tambah Safiq, selepas lagu Cinta Kita, Projector Band juga bakal muncul dengan lagu raya dan sebuah lagu baharu lagi tahun ini.

“Kami juga akan muncul dengan lagu raya  tahun ini. Lagu berjudul Rakan Teman Aidilfitri lirik oleh Johari Teh dan lagu oleh Puyu itu akan menemui peminat pada bulan Ramadan ini.

“Tahun ini juga kami akan muncul dengan single seterusnya berjudul Akhirnya Ku Tahu yang merupakan sambungan kepada lagu Meskipun Ku Tahu. Nantikann ya!,” kata Razif.

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!