Berehat sepanjang Ramadan, SITI NORDIANA luang masa bersama anak dan banyakkan ibadah

Penyanyi dan pelakon popular, Siti Nordiana, 35 tahun mendedahkan sepanjang bulan Ramadan ini dia akan banyak menghabiskan masa berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

Menurut Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, dia juga ingin merebut kesempatan sepanjang bulan Ramadan ini untuk perbanyakkan amalan dan beribadah.

“Bulan puasa saya banyak rehat dekat rumah sebab sudah selesaikan segala kerja bulan lalu. Inilah masa untuk saya menghabiskan masa bersama keluarga terutamanya anak saya, Ryan.

“Selain itu, saya juga ingin mengambil peluang melaksanakan ibadah sebanyak mungkin sepanjang bulan Ramadan. Insya Allah, kalau boleh nak menunaikan solat terawih setiap malam sepanjang bulan Ramadan ini. Itu adalah impian saya pada bulan puasa ini. Kalau berjaya la…Insya Allah. Doakan ya,” kata Nana.

Menyentuh mengenai sambutan hari raya yang bakal menjelma tidak lama lagi, Nana memberitahu bahawa sambutan Aidilfitri tahun ini agak berbeza kerana tidak beraya bersama anaknya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 11 tahun.

“Raya tahun ini raya yang berbeza sedikit kerana tahun ini Ryan beraya dengan keluarga bekas suami, Allahyarham Faizal Yusuf. Mereka ingin beraya dengan Ryan jadi saya sebagai seorang ibu kena bertolak ansur kerana Ryan pun darah daging mereka.

“Jadi tahun ini saya beraya tanpa Ryan. Tapi untuk dua atau tiga hari sahaja. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, saya akan pulang beraya di Felda Sendayan, Negeri Sembilan bersama keluarga.

“Saya merancang untuk pergi bercuti dengan keluarga saya. Mungkin pergi bercuti ke pulau atau mana-mana lokasi yang menarik. Tapi semuanya masih dalam perancangan lagi,” cerita Nana.

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!