AWIE terkilan jumlah bayaran bonus HANTU KAK LIMAH

Penyanyi dan pelakon popular, Datuk Awie meluahkan rasa terkilan dengan jumlah bayaran bonus yang diterima daripada penerbit filem pecah panggung, Hantu Kak Limah yang baginya sangat tidak setimpal.

Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman, 50, yang memegang watak utama sebagai Hussin mendedahkan jumlah yang diterima sangat tidak munasabah jika dibandingkan dengan jumlah kutipan filem  Kak Limah yang mencecah RM38 juta.

“Berapa jumlah bonus yang saya terima? Tak perlu lah saya cakap. Nak cakap pun malu. Tapi ia sangat sedikit dan tidak munasabah dengan keuntungan yang diperolehi.

“Bayangkan saya sebagai watak utama pun terima jumlah yang sedikit, apatah lagi pelakon lain dan krew-krew yang terlibat.

“Bukannya tamak atau tidak bersyukur, tapi saya rasa ini sangat tidak adil dan tujuan saya meluahkan perkara ini bukan untuk diri sendiri tapi mewakili semua pelakon dan juga team produksi.

“Kalau saya tak bangkitkan isu seperti ini siapa lagi. Saya tidak kisah apa nak jadi.

“Jika kenyataan saya ini membuat pihak penerbit itu ingin memboikot saya, silakan. Banyak lagi penerbit lain yang ada,” kata Awie kepada URTV Online ketika ditemui pada majlis sidang media Dinner Gig 2018 FUFC The Fighters di Hotel Tenera, Bangi petang tadi.

Tambah Awie, walaupun terkilan dengan pihak penerbit, dia tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama lagi dengan pengarah Hantu Kak Limah, Mamat Khalid. 

“Mamat sendiri sudah meminta penjelasan daripada pihak penerbit terhadap perkara ini namun maklum balas yang diterima sangat mengecewakan. 

“Saya tiada masalah dan boleh berlakon bila-bila masa sahaja dibawah arahan beliau lagi selepas ini, tapi saya akan lihat pada penerbit terlebih dahulu. Jika penerbit yang sama, saya akan tolak.

“Andai kata filem Hantu Kak Limah akan ada sambungannya dengan penerbit yang sama, saya cadangkan matikan sahaja watak Hussin itu kerana saya tidak akan bekerja lagi dengan penerbit seperti ini yang tidak menghargai kami anak seni,” tegas Awie.

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!