Astro dan Chatime bantu lunaskan hutang dalam MIKROFON IMPIAN

Siapa sangka dengan menyanyi, kita boleh hapuskan hutang yang ada. Itulah konsep program realiti terbaharu terbitan Astro, Mikrofon Impian yang bakal bersiaran bermula 17 Januari ini setiap Ahad pada pukul 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Diadaptasi daripada program ‘game show’ nyanyian nombor 1 di Thailand (Mic Mod Nee), Mikrofon Impian masih mengekalkan format asal program tersebut yang dirangka untuk membantu para peserta yang mempunyai masalah kewangan untuk melunaskan bebanan hutang mereka.

Program 13 episod ini akan memaparkan dua peserta bersaing setiap minggu untuk memenangi hadiah wang tunai mengikut jumlah keperluan bantuan kewangan yang diminta berdasarkan situasi masing-masing.

Setiap peserta akan menjelaskan situasi kewangan yang dihadapi sebelum menyanyikan lagu pilihan masing-masing. Peserta yang berjaya memikat hati juri akan ke pusingan akhir dan menjawab soalan untuk menentukan jumlah wang tunai yang bakal dimenangi.

Menurut Ketua Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad, program berkonsep pertandingan nyanyian ini adalah inisiatif kemasyarakatan oleh pihak Astro dengan kerjasama Chatime Malaysia.

“Tujuan program ini adalah untuk bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan malah menyuntik kesedaran serta membawa penonton menyelami perasaan mereka yang terpaksa melalui kesusahan dan keperitan kerana terjerat dengan tanggungan hutang dalam menjalani kehidupan seharian.

“Program adaptasi ini berbeza sedikit berbanding yang asal di Thailand kerana kami lebih mengutamakan nyanyian berbanding kisah peserta. Walaupun begitu, setiap peserta telah disemak terlebih dahulu latar belakang kewangan dan hutang mereka sebelum terpilih untuk menyertai program ini.

“Walaupun tidak berjaya memenangi wang kemenangan, peserta yang gagal masih berpeluang mendapat bantuan menerusi tabung, ‘MaybankHeart’. Para penonton yang prihatin boleh menghulurkan sumbangan ikhlas kepada setiap peserta yang akan dibuka selama 30 hari selepas setiap episod,” kata Raqim.

Barisan juri tetap Mikrofon Impian (dari kiri), Aliza Ali, Azmi Saat dan Fauziah Latiff.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia, Aliza Ali yang merupakan juri tetap program ini memberitahu dia lebih kepada menilai kesungguhan serta memberikan semangat dan motivasi kepada peserta.

“Ramai peserta yang menyertai program ini terbeban dengan hutang kerana gagal dalam perniagaan. Pengalaman saya yang bermula dari bawah mengharungi pelbagai rintangan sehingga berjaya sedikit sebanyak boleh menjadi iktibar untuk mereka. Saya akan menilai daripada sudut kewangan dan lebih memberi nasihat serta motivasi kepada peserta.

“Peserta yang telah dipilih menyertai program ini semuanya telah pun berusaha. Namun masih tidak cukup untuk menanggung kehidupan mereka. Ada yang telah melakukan tiga kerja setiap hari, tapi masih gagal untuk melunaskan hutang bil rawatan keluarga mereka,” kata Aliza.

Program Mikrofon Impian yang dihoskan oleh Datuk Aznil Haji Nawawi atau mesra dengan panggilan Pak Nil ini turut menampilkan Fauziah Latiff dan Azmi Saat sebagai juri tetap.

Selain itu, seorang juri jemputan akan diundang menyertai program tersebut setiap minggu. Antaranya, Zamani, Elyana, Mark Adam, Elizabeth Tan, Tomok, Hazami, Sangeeta, Salih Yaacob, Mawi, Black Hanafiah, Jaclyn Victor, Ajak Shiro dan Siti Nordiana.

Jangan lupa saksikan Mikrofon Impian yang mula bersiaran pada 17 Januari ini setiap Ahad pada pukul 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Foto: Nooreeza Hashim

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter