ANTA PERMANA kerjasama pertama SITI NURHALIZA bersama HAEL HUSAINI dan EZRA KONG

Penyanyi no.1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal muncul dengan single baharu berjudul Anta Permana yang akan dilancarakan di semua pelantar digital bermula 21 September 2018.

Lagu terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. dan edaran oleh Universal Music Malaysia tersebut akan boleh dilanggani di Apple Music (itunes), Spotify, Joox dan KKBox selepas tarikh dilancarkan.

Ini merupakan kerjasama yang pertama di antara Siti Nurhaliza bersama Hael Husaini dan Ezra Kong. Hael menyatakan hasrat untuk memberikan lagu ciptaannya kepada Siti Nurhaliza sejak Februari 2018 dan berjaya merealisasikannya apabila Siti tertarik dengan demo yang beliau hantar pada bulan Mei.

Menurut Siti, beliau sudah tertarik dengan lagu ciptaan Hael dan Ezra Kong ini sewaktu pertama kali mendengarnya. Tanpa berfikir panjang, Siti bersetuju untuk merakamkan lagu yang berjudul Anta Permana kerana yakin dengan bakat yang dimiliki oleh dua komposer muda ini.

Anta Permana diambil daripada perkataan Melayu Klasik yang bermaksud `tidak terkira’ atau infiniti.

Lagu ini mengisahkan cinta sejati yang tiada bandingannya dan pemilihan judul lagu ini selain maknanya yang bertepatan lirik lagu, Siti juga berusaha memperkenalkan kembali perkataan Melayu Klasik yang jarang digunakan.

Siti menaruh harapan yang tinggi dengan kemunculan single terbaru ini dan berharap agar para peminat muzik tempatan akan menyukainya.

Beliau menyifatkan Anta Permana adalah sebuah lagu yang segar, mesra telinga (catchy) serta ada keunikan dengan gabungan muzik moden dan klasik.

Siti juga telah menjalani penggambaran muzik video yang diarahkan oleh Rifaiee Omar dari Rio Films Production. Muzik video ini dijangka akan boleh ditonton di youtube Vevo DatoSNurhalizaVEVO bermula minggu hadapan.

Ruang komen
URTV
News Reporter
error: Content is protected !!