Aneka Godaan Selera THAI  Di HOTEL CONCORDE

SEDAP! Ada kelainan dan punya sentuhan  istimewa…itulah  yang dapat dikatakan  tentang  sajian Thai  yang sedang dipromosikan di Hotel Concorde Kuala Lumpur.

Antaranya  Ayam Bersalad ( Yum Gai Kron), hidangan mi ( Yum Woonsen), Sambal Sayur(Nam Prik Ka Pi), Kari Daging Masamman (Gen Masammam Currr), Ikan kukus Limau Pedas (Gai Yarng) , aneka tom yam santan, putih dan merah, kerabu, daging cincang, tenggiri goreng  bersalut telur, ikan kukus, som tam dan berbagai-bagai lagi  yang lainnya, malah sudut pencuci mulut antaranya pulut mangga dan sagu keladi nya `menggoda’  pandangan.

Paling penting,  sajian bufet ini  tahap wow…pada skala 5  layak diberi 4 bintang!

Hotel Concorde  (HC) , Kuala Lumpur membawa Cef Nop (Nopporn Nutto @ Solahuddin Nuto Abdullah)  dari Bangkok  untuk `melayan’ peminat-peminat masakan negara itu, di  kafe terkenalnya, Melting Pot.

Terima kasih secara eksklusifnya HC mengundang  saya mewakili URTV,  untuk memberi komen mengenai promosi hidangan dari negara Gajah Putih ini.

“Pada Ogos ini pelanggan tidak hanya dapat menikmati rasa barat , Melayu tetapi juga Thai untuk makan malam di sini bermula pukul 6.30 sehingga 10.30 malam dengan harga bufet RMN110 seorang,” kata  Pengarah Makanan dan Minuman Hotel Concorde,  Nordin Ismail.

Tambah Pengarah Komunikasi Pemasarannya, Julini Mohd Yusof, “Kami pernah menyajikan sajian Thai di sini beberapa tahun lalu . Atas permintaan ramai, menu  dari sana dibawa kembali.

“Kali ini, sebanyak 45 aneka juadah disajikan di mana 15 hidangan untuk setiap malam dan diulang secara bergilir-gilir mengikut hari selama sebulan dalam rangkaian promosi pada  bufet  selain dikekalkan menu Malaysia, Jepun dan Barat.

“Dan mulai bulan berikutnya, tempahan ala carte kami memuatkan menu dari Thailand untuk pelanggan Melting Pot.

“Cef Nop bukan sahaja memperkenalkan masakan tradisi dan istimewa Thai tetapi akan berkongsi ilmu cara penyediaan sebenar hidangan Siam itu bersama-sama, team Cef yang membantunya di dapur.”

Cef Nop mempunyai  pengalaman bukan sedikit masakan Thai, pernah berkhidmat di rangkaian hotel  dan restoran dalam dan luar negaranya , bukan saja mahir menyediakan hidangan tradisi turun temurun tetapi hidangan tanah airnya yang diberi sentuhan gubahan semulanya,  diakui berseni dan sedap.

Cef Nop sedang menyediakan kerabu istimewa Thai

“Saya sudah lama dalam bidang ini, apatah lagi mendapat didikan ibu yang mahir di dapur usianya masih kecil,” katanya ketika kami berbual.

Ibunya juga seorang cef,  pernah berkhidmat  begitu  lama, di dapur istana.

“Masakan  negara kami, mengutamakan    ramuan segar dan  membangkitkan  aroma memikat.  Pastinya bahan-bahan seperti lengkuas, serai, halia, cili padi dan daun limau purut antara  pilihan dalam penyediaan masakan Siam.

Cef Nop (kiri) bersama Cef Ng

“Kebanyakan menu tak lekang dengan rasa pedas, masam, manis, masin malah ada juga menyelit yang pahit (kala menggunakan daun untuk menyalut isi makan) dan tentunya menu-menu selera kami, turut membantu menyihatkan tubuh badan.

“Dan adabnya, selain masakannya kena  sedap, kala menghidangkannya, mesti nampak menarik,” ujarnya.

Kala melayan hidangannya di Melting Pot ini membuat anda  bagai berada di tengah-tengah kota Bangkok.

Usah lupa mencuba juga Teh Tarik Thai  yang umph! Sekali rasa, teringin lagi.

Apa lagi, kepada yang belum mencuba dan pelanggan setia Melting Pot   jom rasa selera Thai. Berbaloi harga dan hidangan.

Tarikh: 16 hingga 31 Ogos 2018
Masa: 6.30 petang hingga 10.00 malam
Harga: RM110.00 setiap orang (termasuk makan malam bufet setiap malam)
Lokasi: Melting Port Cafe, Hotel Concorde, Kuala Lumpur.
Untuk tempahan, hubungi +603 2717 2233 (Melting Pot Cafe)

Foto: WONG

Huzz
News Reporter
error: Content is protected !!