Aizat dan MonoQue bergabung dalam single Urusan Seri Paduka Baginda (Versi Agong)

MonoloQue baru-baru ini telah melancarkan single dan video muzik bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

MonoloQue, kumpulan muzik rock yang membawa genre nu-santara baru sahaja melancarkan single terbaru mereka bersama Aizat Amdan diiringi video muzik mereka yang berjudul Urusan Seri Paduka Baginda (USPB)- Versi Agong.

Single ini merupakan single kedua, ( selepas Chinta, tahun lepas , bersama biduanita NJWA) akan dimuatkan bersama dalam album ‘Lagu Perang ( Bunyian Gamelan Melayu di abad ke 21)’ yang bakal disajikan akhir tahun ini.

Permulaan lagu ini bermula kira-kira 15 tahun lalu. Selepas Dato’ Ahmad Farid Abdul Jalal, Pengarah Perbadanan Muzium Pahang mendengar lagu bersama gamelan dalam album Selamat Tinggal Dunia oleh Butterfingers. Di situ Dato’ Farid amat tertarik dengan penggunaan gamelan bercampur muzik moden.

Dato’ Farid telah menghubungi loQue untuk berkerjasama. Inilah hasilnya. Aizat Amdan menjadi taruhan membawa lagu ini ke pentas yang lebih umum. Video muzik lagu ciptaan loQue dan lirik sumbangan Dato’ Farid ini menampilkan juga Orkes Gamelan Pahang Diraja dan penari Gamelan dari Kumpulan Kesenian Pejabat SUK Pahang.

Lirik oleh Dato’ Farid dipena khas untuk Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Menggambarkan betapa pentingnya baginda dan institusi beraja ini kepada keamanan dan kesejahteraan negara. Raja dan rakyat berpisah tiada. Berkat baginda memerintah secara adil dan bijaksana negara membangun dan gemilang.

Untuk nilai-nilai astetika lagu Urusan Seri Paduka Baginda pula, gamelan bukan saja diamati, didalami dan disanjungi loQue malah beliau telah menjadikan gamelan itu sebagai elemen yang paling dominan, membuatkannya bukan sahaja relevan malah watak atau motif penting dalam menjayakan lagu ini serta album gamelan ‘Lagu Perang ( Bunyian Gamelan Melayu di abad ke 21)’.

Melodi gamelan lagu Ketawang yang dimainkan oleh Orkes Gamelan Pahang Diraja menggunakan set gamelan asal turun temurun yang pertama masuk ke Tanah Melayu sekitar 200 tahun lalu kini diadun sebati bersama muzik moden sekaligus memberi nafas ganjil tapi unik di samping ia memberi satu perasaan serta ‘kesegaran’ yang sukar hendak digambarkan dengan perkataan.

Dengan kerjasama FINAS, Muzium Diraja dan Perbadanan Muzium Negeri Pahang terhasillah sebuah video muzik dibawah arahan loQue . Berlatarkan Balairong Seri Muzium Diraja, ia sangat memberi impak dari segi visual.

Tarian yang diubahsuai mengikut landasan Tari Gamelan Tradisional , pereka tari Ker Yer Teng berhati -hati ketika meng “kontemporari- kan” tarian gamelan di dalam muzik video itu.

Selari dengan jiwa lagu ini di mana tradisi dan kemodenan hidup bersama tanpa segan silu bahkan maju bersama, sepertimana keadaan semasa , sekarang .

“Seni budaya yang asli dan lama dipelihara, evolusi seni yang baru jangan dikongkong, “- kata- kata dari loQue .

Itulah nu-santara. Dirgahayu Tuanku. Dirgahayu Bunyi Baru Malaysia

Ruang komen
URTV
News Reporter