“Ada yang lagi susah daripada saya walaupun sempurna sifat” – AZMI SAAT

Vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat dedah dia jauh lebih beruntung walaupun berstatus orang kurang upaya (oku) berbanding yang sempurna.

Bergelar juri dalam program realiti terbaharu terbitan Astro dengan kerjasama Chatime, Mikrofon Impian, Azmi memberitahu kisah seorang peserta telah menyentuh hatinya.

“Sebagai seorang oku, kadang-kadang saya rasa susah nak hidup dan berdikari kerana perlu bersaing dengan orang lain yang lebih sempurna.

“Tapi bila terlibat dalam program ini, baru saya sedar yang ada yang lebih susah daripada saya walaupun mereka sempurna sifat.

“Bila dapat dengar kisah mereka, rasa lebih beruntung daripada mereka. Kebanyakan mereka lebih susah daripada saya.

“Kisah peserta yang betul-betul menyentuh hati saya adalah pada satu episod dimana seorang peserta mencari cara untuk mendapatkan kemaafan daripada orang yang dia sakiti.

“Dia berhutang disebabkan kesilapannya sendiri dan dalam pada itu dia telah menyakiti hati ramai orang.

“Peserta itu mendedahkan dia menyertai Mikrofon Impian bukan untuk menang, tapi mahu ruang untuk luah rasa bersalah pada mereka yang telah dia sakiti dan nak dapatkan kemaafan mereka.

“Lagu yang dinyanyikan pula memang kena dengan tujuan dia dan saya rasa keikhlasan dia ingin mendapatkan kemaafan.

“Semua buat salah tapi tak sedar kita buat salah. Saya kagum dengan dia kerana dia sedar dan ingin mendapatkan kemaafan. Bagi saya dia seorang yang berani dan hebat,” kata Azmi ketika ditemui URTV semasa majlis pelancaran program Mikrofon Impian di restoran The Majapahit, Kuala Lumpur pada Isnin.

Bercerita tentang pertama kali menjadi juri, Azmi memberitahu ia adalah satu pengalaman baharu yang sangat berharga buat dirinya.

“Mula-mula ditawarkan tu saya rasa takut juga nak terima. Iyalah, tak ada pengalaman langsung menjadi juri.

“Saya selalu mendengar pertandingan nyanyian dan buat penilaian sendiri. Apa yang saya fikir hampir sama dengan komen juri. Dari situ saya fikir saya boleh menilai dan setuju untuk terima tawaran ini.

“Cabaran saya adalah saya hanya dapat menilai peserta daripada segi vokal dengan mendengar nyanyian mereka dan tidak dapat menilai penghayatan dan ekspresi muka mereka di atas pentas.

“Tapi saya serahkan perkara tersebut kepada juri lain dan fokus pada menilai nyanyian dan penghayatan vokal peserta semasa mengadakan persembahan sahaja.

“Selain menjadi juri, saya juga perlu kongsi kisah hidup saya. Setiap peserta akan bercerita kesusahan diri mereka dan saya juga akan kongsi kisah saya supaya dapat beri motivasi untuk mereka.

“Bagi saya program ini adalah satu program yang bagus. Ia membuka hati kita dan sedar walaupun  kita rasa susah, ada lagi yang lebih susah daripada kita,” kata Azmi.

Selain Azmi, program Mikrofon Impian yang dihoskan oleh Datuk Aznil Haji Nawawi ini turut menampilkan Fauziah Latiff dan Aliza Ali sebagai juri tetap serta seorang juri jemputan akan diundang menyertai program tersebut setiap minggu.

Jangan lupa saksikan Mikrofon Impian yang mula bersiaran pada 17 Januari ini setiap Ahad pada pukul 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Foto: Nooreeza Hashim

Ruang komen

Please enter banners and links.

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!