ADA KESERASIAN, NABILA RAZALI PILIH SUFIAN SUHAIMI

Penyanyi popular, Nabila Razali akui ada persamaan dan serasi dengan rakan artis, Sufian Suhaimi.

Menurut Nabila, disebabkan perkara tersebut dia telah memilih Sufian untuk menjadi rakan duet untuk single terbaharu  yang akan muncul tidak lama lagi.

“Insya Allah jika tiada aral melintang saya akan bergandingan dengan Sufian dalam satu projek istimewa. Kami bakal berduet dalam satu lagu baru nanti.

“Ini adalah kali pertama digandingkan dengan mana-mana penyanyi terutamanya penyanyi lelaki dalam satu lagu.

“Saya pilih Sufian sebab dia adalah penyanyi yang sesuai untuk projek istimewa ini. Terdapat perkara yang berkaitan antara kami berdua. Jalan penceritaan lagu dia dan lagu saya hampir sama iaitu kisah patah hati dan meneruskan kehidupan setelah hati dilukai.

“Kami sudah mendengar beberapa demo lagu tapi masih belum putuskan lagu yang mana akan kami tampil sebagai lagu duet kami.

“Kami nak pastikan lagu itu sesuai dan kena dengan vokal dan jiwa kami. Lagu itu akan menampilkan penceritaan yang berbeza dengan lagu-lagu kami sebelum ini.

“Harapan kami adalah lagu itu nanti bukan sahaja memberi impak kepada karier nyanyian kami berdua malah kepada pendengar,” ujar Nabila Razali semasa ditemui semasa sesi fotografi duta Kempen Ramadan Raya Rangkaian Televisyen Media Prima 2019 di hotel Sheraton, Petaling Jaya pada pagi Rabu

Bercerita tentang perkembangan lain, Nabila yang merupakan duta telefon pintar siri Samsung Galaxy A memberitahu beliau turut akan terlibat dengan Kempen Ramadan Raya, ‘Setulus Ikhlas’ rangkaian Media Prima untuk tahun 2019.

“Saya bersama dua duta  siri Samsung Galaxy A iaitu Ismail Izzani dan Haqiem Rusli akan terlibat dalam program Check-In Kampung bersama Skuad-A.

“Selain itu saya juga akan membuat kemunculan dalam program-program lain yang akan dilaksanakan dalam kempen ‘Setulus Ikhlas’.

“Insya Allah jika tiada aral melintang saya juga akan muncul dengan produk fesyen dengan jenama saya sendiri minggu hadapan.

“Saya amat teruja dengan kemunculan produk ini. Dah lama saya rancang dan idam untuk keluarkan produk saya sendiri.

“Saya akan umumkan dalam masa terdekat ini di laman sosial. Harap peminat akan memberi sokongan penuh pada produk itu nanti,” cerita penyanyi yang sedang popular dengan lagu Vroom Vroom ini.

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!