42 filem hantar penyertaan merebut trofi FFM30

Foto: HAFIZ JOHARI

Memasuki tahun penganjuran ke-30, Festival Filem Malaysia (FFM) kali ini menyaksikan sebanyak 42 filem telah menghantar penyertaan yang terdiri daripada 25 filem Melayu, Kantonis (2), Mandarin (8) dan Tamil (7).

Antara filem yang menghantar penyertaan adalah Polis Evo 2, Munafik 2, KL Wangan, Paskal, Hantu Kak Limah dan banyak lagi.

Menurut Pengarah FFM30, Abd. Khalid Maulod, proses penjurian masih berjalan dan pihak FFM akan mengumumkan finalis yang berjaya bertanding dalam masa terdekat.

“Sebanyak 25 filem bahasa Malaysia, 2 filem bahasa Kantonis, 8 filem bahasa Mandarin dan 7 filem bahasa Tamil telah menghantar penyertaan.

“Filem-filem ini telah layak menghantar penyertaan dan pihak juri sedang membuat penjurian terhadap kesemua filem tersebut. Finalis yang berjaya akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Bertemakan ‘Inspirasi Sinemaku’, malam kemuncak FFM 30 bakal berlangsung pada 30 Mac 2019 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan disiarkan secara langsung di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123) pada jam 9.00 malam.

Pengerusi FINAS merangkap Penasihat FFM30, Datuk Samsuni Mohd Nor pula memberitahu bahawa penganjuran FFM30 merupakan inisiatif pihak kerajaan membangunkan platform festival filem nasional yang berprestij untuk mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan karyawan industri filem tanah air.

“FFM30 adalah bagi menjana jaringan dan kerjasama strategik di antara kerajaan dan pihak industri dengan perlaksanaan program yang mengangkat profesionalisme para pemain industri.

“Majlis anugerah berprestij ini juga adalah menifestasi kepada usaha pembudayaan sinema kepada masyarakat melalui karya-karya berkualiti yang seterusnya mewujudkan sistem sokongan kepada pemerkasaan industri,” katanya pada sidang media FFM30, di Dorsett Hartamas pada Selasa.

FFM30 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang turut mendapat kerjasama persatuan-persatuan perfileman Malaysia dan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

FFM30 yang akan dihoskan oleh Adibah Noor dan Nabil Ahmad mempertandingkan 42 kategori anugerah.

Sebanyak 24 kategori anugerah yang dijurikan iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Penyunting Terbaik, Sinematografi Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Pengarah Harapan, Pelakon Lelaki Harapan, Pelakon Wanita Harapan, Skor Muzik Asal Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Rekaan Kostum/Busana Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Kesan Khas Terbaik, Poster Terbaik, Anugerah Khas Juri 1, Anugerah Khas Juri 2 dan Anugerah Khas Juri 3.

Manakala tiga anugerah kategori khas yang tidak dipertandingkan iaitu Anugerah Penggiat Seni Belakang Tabir, Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman dan Anugerah Filem Box Office.

Ruang komen
Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!