4 hari di Youtube, NABILA RAZALI gembira VROOM VROOM dapat sejuta tontonan

BIARPUN berdepan masalah teknikal Youtube pada hari pertama muzik video Vroom Vroom dilancarkan, penyanyi Nabila Razali tetap berpuas hati apabila menerima satu juta tontonan dalam tempoh empat hari berada di saluran itu. 

Nabila berkata, dia bersyukur dengan penerimaan dan reaksi pendengar yang pelbagai terhadap lagu baharunya itu. 

“Awalnya, selepas dimuat naik YouTube kami hadapi masalah teknikal. Tapi alhamdulillah keesokannya tontonan baru mula dikira. 

“Walaupun begitu, saya gembira sangat muzik video itu kini sudah mencecah 1 juta tontonan dalam tempoh empat hari,” ujarnya. 

Muzik video itu turut menduduki tangga kedua sohor kini Malaysia dengan 38,000 tanda suka. 

Sebelum ini, muzik video yang dilancarkan kira-kira pukul empat petang Rabu itu berdepan dengan masalah teknikal Youtube yang tidak membuat sebarang catatan tontonan selama enam jam dimuat naik. 

Sementara itu, Nabila berkata, dia berharap lagu genre Pop Rock ini dapat diterima seperti lagu terdahulunya Pematah Hati. 

“Saya berterima kasih kepada yang suka dengan lagu ini dan kongsi kepada kawan-kawan dan pada yang tidak suka, mungkin pendengar perlu beri masa untuk terima lagu ini.” ujarnya. 

Muzik video Vroom Vroom turut menampilkan Fendy Bakry, Ara Johari, Sharifah Rose dan Nia Atasha. 

Muzik video boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Lagu tersebut boleh didengar di semua pelantar Digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, KK BOX, Deezer dan iTunes mulai 1 Februari depan.

Ruang komen
URTV
News Reporter
error: Content is protected !!