30,000 pengunjung banjiri festival GERARIA di JB

Destinasi kedua siri jelajah Festival Gegaria di Perkarangan Parkir Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru, Sabtu lalu mendapat sambutan yang hangat daripada pengunjung. Seramai 30,000 pengunjung telah mengunjungi Festival Gegaria di Johor Bahru berbanding 25,000 orang pengunjung di lokasi pertama di Setia City, Shah Alam pada 13 Januari lalu.

Festival yang diadakan untuk menyatukan golongan belia yang sentiasa dihargai dan memberikan mereka sebuah platform untuk mengekspresikan diri selama satu hari ini terbahagi kepada lima zon utama iaitu Zon Makan-Makan #Gegaria, Zon Throwback Tunnel #Gegaria, Zon Gaya Hidup #Gegaria, Zon Komuniti #Gegaria, dan Zon Hiburan #Gegaria.

Zon Makan-Makan #Gegaria menawarkan pelbagai Food Truck, makanan segera, makanan tradisional, serta demo masakan disediakan buat para pengunjung yang menggemari juadah-juadah yang beraneka macam sepanjang hari. Antara makanan dan minuman yang disediakan adalah cendol durian, minuman buah-buahan ice blended, Ayam Goreng Uncle Bob, Nasi Lemak, Burger dan banyak lagi.

Lebih menarik lagi adalah pembelian makanan dan minuman di festival ini adalah dengan cara tanpa tunai melalui aplikasi mudah alih ‘Boost’. Para pengunjung boleh memuat turun aplikasi mudah alih, ‘Boost’ ini secara percuma di ‘Google Playstore’ atau ‘Apple App Store’ dan berbelanja melalui beberapa langkah-langkah mudah seperti berikut:
• Muat turun aplikasi Boost ke telefon pintar
• Daftar ID pengguna dengan menggunakan kod unik Festival Gegaria yang terdapat di booth Boost
• Mengisi semula wang kedalam aplikasi Boost(menggunakan khidmat perbankan atas talian, m2u, CIMB Clicks dan sebagainya) dan menjadikannya sebagai dompet elektronik pengguna
• Imbas QR Code di gerai/food truck dan sertakan jumlah harga untuk membayar makanan atau minuman.

Di samping itu, para pengunjung juga berpeluang untuk menimba resipi baharu dan bertemu secara peribadi bersama hos Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) Naz Rahman, Faizdickie, Cef Fikree Aznan dan Cef Naem dalam aktiviti Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM).

Di Zon Throwback Tunnel #Gegaria pula merupakan lokasi yang terbaik untuk para pengunjung menimba inspirasi berharga tentang perkembangan negara. Membentangkan dua buah kontena yang berhias artisitik, zon ini mempamerkan seni-seni yang menceritakan era-era perkembangan Malaysia bermula pada tahun 1950-an hingga kini. Throwback Tunnel ini telah terus memberikan inspirasi selama 10 pagi hingga 6 petang.

Tarikan lain yang terdapat di Festival Gegaria adalah, Zon Gaya Hidup #Gegaria (#Gegaria Lifestyle) yang beroperasi daripada 10 pagi hingga 6 petang. Para pengunjung telah berpeluang untuk mendengar sesi perkongsian oleh personaliti-personaliti terkenal yang berkisarkan tips-tips menarik media sosial serta fesyen dan stail serta perkembangan artis terkini. Selain itu, pentas mini Gaya Hidup #Gegaria ini juga akan membuat demonstrasi mekap dan hijab untuk penimbaan ilmu para pengunjung. Antara barisan personaliti terkenal adalah Zumba Instructor (ZIN) Hanif Shawn, Artis Solekan Putreeo, Perunding Imej Noorish Al-Qayyum, Jinnyboy & Reuben, Nabila Razali, Awal Ashaari & Scha Al-yahya, DeFam, dan Noh Salleh.

Tutorial Hijab bersama Nabila Razali

Selain itu, Festival Gegaria turut mengambil inisiatif untuk berkhidmat kembali kepada masyarakat dengan mewujudkan Zon Komuniti #Gegaria (#Gegaria Community). Di zon komuniti ini, pelbagai aktiviti disediakan selama lapan jam bermula 10.00 pagi untuk para pengunjung termasuk menderma darah, pemeriksaan kesihatan, dan pendaftaran undi dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Tarikan terakhir Festival Gegaria merupakan antara tarikan yang dinantikan oleh orang ramai iaitu Zon Hiburan #Gegaria (#Gegaria Entertainment). Sedikit berbeza dengan zon-zon yang lain kerana zon ini beroperasi sepanjang hari dari 8.00 pagi sehingga 10.00 malam melalui bahagian-bahagiannya yang berbeza. Pentas Utama telah bermula dengan Zumba #Gegaria pada awal pagi bersama Zumba Instructor (ZIN) Hanif Shawn dan berehat sehingga ke petang. Namun, zon ini diteruskan dengan aktiviti-aktiviti fizikal, permainan tradisonal, dan permainan elektronik untuk belia yang menggemar menguji fizikal dan mental mereka. Antara permainan fizikal dan tradisional yang disediakan adalah Buih Gergasi, Timbang Takraw, Ting-ting, Congkak Gergasi dan Jengga Gergasi.

Bunkface di Konsert Gegaria

Manakala buat penggemar permainan elektronik, bergandingan dengan MyGameOn (MGO) dan Garena, Festival Gegaria ini turut menyediakan pertandingan sukan elektronik untuk permainan FIFA Online 3, Arena of Valor, dan League of Legends dan merebut sebahagian daripada hadiah wang tunai bernilai RM10,000! Para penggemar permainan elektronik boleh mengekori langkah kumpulan M8Hexa.Alpha yang telah menjuarai permainan Arena of Valor di Johor Bahru, Sabtu lalu. Selain itu, terdapat juga Playstation 4, Nintendo dan XBOX untuk hiburan para pengunjung dan yang terkini adalah permaianan Virtual Reality yang pastinya telah memberikan pengalaman bermain di alam maya secara peribadi.

Bagaimanapun, acara permainan fizikal dan elektronik itu akan berhenti pada pukul 5 petang untuk memberi ruang kepada Konsert #Gegaria untuk berlangsung pada pukul 4.00 petang hingga 11.00 malam di Pentas Utama #Gegaria bersama barisan penghibur seperti DeFam, Priscilla Abby, Masdo, Noh Salleh, Akim & The Majistret, Plague of Happiness, dan Bunkface.

Para penggemar festival tidak harus bersedih sekiranya terlepas dua lokasi Festival Gegaria ini, kerana Festival Gegaria akan meneruskan siri penjelajahannya di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 24 Februari 2018. Untuk maklumat lanjut, para penggemar festival dan hiburan tanpa henti boleh layari laman Facebook rasmi Gegaria ‘GoGegaria’ (www.facebook.com/gogegaria) atau laman sosial Instagram @gogegaria (www.instagram.com/gogegaria).

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!