12 jam tanpa henti, KL ZUMBA MARATHON 2019 bakal catat sejarah

Foto: Zulfaiz Zakaria

Sebuah acara zumba terbesar di Malaysia menghimpunkan lebih 5,000 orang peserta bakal diadakan buat julung kalinya pada 20 April 2019 di Dewan Utama A, Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Ser­dang (MAEPS).

Program diberi nama KL Zumba Marathon 2019 (KLZM2019) ini akan melakar sejarah dan mencipta rekod pertama di dalam Malaysia book of Records sebagai acara zumba paling lama tanpa henti selama 12 jam.

Sebanyak 26 tenaga pengajar selebriti Zumba Malaysia (ZIN) akan beraksi secara bergilir-gilir bersama peserta bermula dari 8.00 pagi sehingga 8.00 malam.

Menurut Penerbit Eksekutif KLZM2019, Muhamad Ridwan Musa, pihaknya berharap acara ini akan mencapai sasaran untuk mengumpulkan seramai 5,000 orang peserta.

“Setakat ini sambutan daripada khalayak terhadap acara ini adalah sangat menggalakkan. Sudah lebih 2000 tiket telah pun terjual.

“Pihak kami berharap acara ini akan terus mendapat sambutan dan mencapai sasaran untuk mengumpulkan seramai 5000 orang peserta dan berjaya mencipta rekod pada hari acara nanti,” katanya ketika ditemui pada sidang media KLZM2019 di Media House Entertainment (MHE), Wisma Trax, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Di samping menyertai aktiviti berzumba, peserta KLZM2019 bebas keluar dan masuk bila-bila masa sahaja kerana terdapat aktiviti lain di luar dewan utama seperti mini karnival, trak makanan, pameran booth dan aktiviti permainan interaktif untuk kanak-kanak.

Bagi yang berminat untuk menyertai KLZM2019, yuran penyertaan adalah sebanyak RM65.00 untuk penyertaan awal. Peserta akan menerima sijil penyertaan KLZM2019 Malaysia Book of Records, pakej lawatan MAEPS Agro Tourism Park dengan menaiki tram, baju t-shirt rasmi KLZM2019 Malaysia Book of Records jenama Ultron, bag, botol air, tuala, dan pelbagai barangan lain.

Untuk maklumat lanjut, layari www.klzm.ohmedia.my

Ruang komen
URTV
News Reporter
error: Content is protected !!