ZIZAN RAZAK luah kisah cinta pilu dalam KAU TAKKAN TAHU

Pelawak, pelakon, pengacara serta penyanyi versatil popular Malaysia, Zizan Razak kembali menghangatkan industri muzik tanahair dengan single terbaharu yang diberi judul Kau Takkan Tahu.

Zizan atau nama sebenar Mohd Razizan Abdul Razak, berkata walaupun sibuk dengan kerjaya lain dia tetap berhasrat untuk menghasilkan single terbaharu ini.

“Alhamdulillah syukur kepada Tuhan kerana tahun 2018 merupakan tahun yang dilimpahi dengan rezeki yang tidak putus-putus. Single Kau Takkan Tahu berjaya juga dilaksanakan walaupun pada masa yang sama saya sedang sibuk dengan macam-macam kerja.

“Masih mengekalkan genre hip hop, Kau Takkan Tahu merupakan single saya yang terbaharu ciptaan sepenuhnya oleh Alif by Magic Potions.

“Ia mengisahkan tentang sebuah kisah cinta sedih di mana ia menceritakan tentang perihal seorang teman wanita yang berkerja di tempat yang sama dengan teman lelakinya dan sentiasa mengesyaki teman lelakinya mempunyai hubungan dengan wanita lain sehingga akhirnya mereka putus.

Tambah Zizan, walaupun lagu ini adalah rekaan semata-mata dan tiada kena mengena dengan hidupnya, namun saya pasti ramai lelaki di luar sana yang pernah mengalami nasib yang sama di mana teman wanita mereka sentiasa mencari kesalahan dan dijadikan alasan untuk ditinggalkan.

“Proses rakaman single ini tidak mengambil masa yang lama. Tetapi perancangan untuk menghasilkannya telah pun bermula sejak 2 tahun yang lepas kerana pelbagai aspek yang perlu diambil kira daripada segi melodi, lirik, siapa yang akan dipaparkan, kemasan produk akhir dan pelbagai lagi.

“Saya harap lagu Kau Takkan Tahu dapat diterima ramai dan mendapat permintaan agar sentiasa diputarkan di stesen-stesen radio seluruh Malaysia,” kata Zizan.

Lagu Kau Takkan Tahu boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Video lirik dan muzik lagu Kau Takkan Tahu ini juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!