Kolaborasi Unik SAKURA BAND Dengan SOPHIA LIANA Dalam Lagu MAGIK

Kumpulan Sakura Band yang popular dengan lagu Polarid kini muncul dengan single terbaharu berjudul Magik. Mengetengahkan konsep muzik pop retro, lagu ini turut menampilkan kerjasama bersama penyanyi rap wanita berbakat besar, Sophia Liana.

Vokalis Sakura Band, Mell berkata, lirik lagu itu berkisar tentang meraikan kemenangan atau sesuatu yang kita berjaya capai.

“Lagu ini juga menggambarkan ekspresi dan perasaan apabila kita mencapai sesuatu kejayaan atau kemenangan. Perkataan Magik dipilih kerana itulah perasaan yang kita rasa. Rasa seperti magik sebab berjaya mencapai kejayaan dan kemenangan.

“Kami cuba membawa kelainan dalam Magik dengan menghasilkan lagu berkonsepkan muzik pop dengan elemen-elemen modern retro. Ini adalah percubaan kami untuk mencuba sesuatu yang berbeza dan menonjolkan muzik yang lebih segar kepada pendengar.

Tambah Mell, mereka sudah lama mengimpikan untuk berkolaborasi dengan penyanyi rap. Semasa sesi penyusunan lagu Magik, mereka bercadang untuk membuat kelainan dengan memasukkan bahagian rap dalam lagu tersebut.

“Kami memilih Sophia untuk lagu ini kerana mengagumi bakatnya sebagai seorang penyanyi rap. Kami sering melihat video-video ‘freestyle rap’ beliau yang dimuat naik di Instagram dan dari situ kami rasa dia adalah penyanyi rap yang sesuai untuk lagu Magik.

“Kerjasama ini juga menonjolkan kelainan kerana jarang kita lihat kolaborasi antara sebuah band yang mempunyai vokalis wanita bersama penyanyi rap wanita.

“Harapan kami adalah agar lagu ini akan mencapai kejayaan yang lebih daripada lagu-lagu kami sebelum ini dan genre lagu yang kami cuba ketengahkan ini dapat diterima oleh semua golongan pendengar muzik tanah air,” ujar Mell.

Muzik video lagu Magik kini boleh ditonton di saluran Youtube UniversalMYVEVO.

Lagu Magik juga boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer dan Apple Music di https://umm.lnk.to/Magik.

Jom tonton muzik video Magik oleh Sakura Band feat. Sophia Liana ni!

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!