NIZEN AYOB Meninggal Dunia.. “Arwah Baik Hati & Pandai Hiburkan Hati” – SHEERA ISKANDAR

URTV turut terkejut apabila pelakon kacak Saiful Nizen Ayob, 31, disahkan meninggal dunia pagi tadi akibat masalah kerosakan buah pinggang.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dan akan dikebumikan selepas solat Asar hari ini.

Hal kematian pelakon ini mula tersebar apabila pelakon Sheera Iskandar dan Salina Saibi memuat naik status berita pemergian Nizen Ayob di laman sosial instagram mereka.

Shira Iskandar berkongsi berita pemergian Nizen di Instagram
Salina Saibi turut berkongsi berita sedih itu di Instagram

Mereka sangat rapat dengan arwah semenjak sama-sama berlakon dalam siri drama Gerak Khas (RTM).

Manakala adik arwah, Nurul Syafiqah Ayob juga memberitahu tentang pemergian abangnya di laman sosial Facebook.

Status adik kepada Allahyarham, Nurul Syafiqah Hadi di laman Facebook

Cerita Sheera Iskandar ketika dihubungi URTV, “Saya sangat terkejut apabila dengar tentang pemergian Nizen. Apatah lagi saya dan kawan-kawan pelakon lain tidak tahu yang arwah sakit.

“Saya tahu pun daripada aplikasi WhatsApp Group kakak ipar arwah. Saya juga rasa terkilan kerana tidak sempat untuk menziarahi arwah sebelum dikebumikan petang nanti kerana sudah ada urusan yang tidak dapat dielakkan.” Luah Sheera yang begitu rapat dengan arwah semenjak berlakon siri drama Gerak Khas.

Sheera menyifatkan arwah seorang yang disenangi ramai.

Sambungnya, “Kami dan pelakon-pelakon Gerak Khas lain sangat rapat. Macam-macam hal yang kami kongsi apabila berada di lokasi.

“Arwah seorang yang baik hati dan pandai hiburkan orang di sekelilingnya. Kalau kami keletihan atau stres di lokasi shooting, dialah yang selalu buat kelakar untuk buat kami ceria.

“Arwah pernah bercerita kepada saya, disebabkan kurang job berlakon, dia merancang pelbagai bisnes seperti produk dan pengurusan acara. Dia cakap mahu berjaya dalam bisnes.”

Nizen popular menerusi lakonan dalam drama bersiri Gerak Khas

Kurus Dan cengkung

Sheera juga mengaku rasa terkilan kerana tidak mengetahui lebih awal yang arwah Nizen sakit.

Katanya, “Selepas arwah meninggal, barulah saya dapat tahu keadaan Nizen daripada production manager Gerak Khas yang pernah bertemu dengannya sebelum meninggal

“Katanya, arwah nampak kurus, cengkung dan lemah sangat kerana sakit buah pinggang. Dia terjumpa arwah ketika itu yang sedang mendapatkan rawatan di Ampang, Kuala Lumpur.

Shira sedih dengan berita pemergian Allahyarham

“Saya ada luah rasa terkilan terhadap production manager itu kerana tidak memberitahu kami awal-awal tentang keadaan Nizen yang sudah sakit ketika itu.

“Saya harap, sama-samalah kita doakan arwah bersama golongan yang beriman. Amin,” begitulah cerita Sheera Iskandar.

Selain siri drama Gerak Khas, Allahyarham Nizen juga popular menerusi drama Istikharah Cinta (TV3), Pintu Taubat (Astro Oasis), Evolusi KL Drift:The Series (RTM). Allahyarham mula dikenali melalui rancangan realiti Pilih Kasih (RTM) musim ketiga.

Takziah URTV ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan golongan orang beriman.

Deel Anjer
News Reporter
error: Content is protected !!