“Lagu Itu Tentang Diri Saya, Malique Tak Tuju Pada Sesiapa” – BEN LADIN

Sejak lagu Hikayat Ben Ladin oleh penyanyi muda Ben Ladin diperdengarkan kepada umum, timbul spekulasi lagu ciptaan Malique bersama Dedeq itu adalah lagu balas Malique kepada lagu Mambang oleh Altimet yang dikatakan dituju kepada Malique sebelum ini.

URTV tanyakan kepada Ben Ladin atau nama sebenar Muhammad Benladin Munshi Shaihan, 17 tahun, tentang hal tersebut.

“Sejujurnya lagu Hikayat Ben Ladin tiada kena mengena dengan sesiapa pun. Seperti tajuk lagu ini, Hikayat Ben Ladin adalah lagu yang mengisahkan tentang diri saya. Suka duka diri saya sendiri sepanjang bergelar anak seni.

“Ia berlaku secara kebetulan dan netizen mengaitkan dengan isu yang pernah berlaku sebelum ni. Saya sendiri tertanya-tanya bahagian mana lirik lagu itu yang menggambarkan ia ditujukan kepada orang lain,” kata Ben ringkas kepada URTV menerusi pesanan teks di aplikasi Whatsapp.

Ramai yang impikan untuk bekerjasama dengan komposer dan penyanyi rap, Malique. Setiap hasil karya beliau pasti hit. Bagi Ben dapat bekerjasama dengan Malique adalah satu penghormatan dan pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur kerana impian untuk bekerjasama dengan Malique tercapai. Saya ingin berterima kasih kepada Malique kerana sudi menerima serta bekerjasama dengan saya bagi menghasilkan lagu Hikayat Ben Ladin.

“Bekerjasama dengan Malique adalah satu pengalaman yang baru buat saya.  Saya rasa sangat bangga dapat bekerjasama dengan beliau.

“Saya memilih untuk muncul sebagai penyanyi rap adalah kerana saya memang minat genre muzik tersebut sejak dulu lagi. Harapan saya pada lagu ini pastinya agar ia dapat diterima oleh semua lapisan usia dan ia akan memberi impak yang besar dalam karier nyanyian saya….Insya Allah,” ujar Ben yang juga aktif dalam bidang lakonan.

Foto: Instagram – @mohd_benladin

Artikel berkaitan: Lagu HIKAYAT BEN LADIN Ciptaan MALIQUE Lagu Balas Untuk ALTIMET?

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!