Kisah Mempertahankan Tanah Rizab Melayu Dalam Telefilem KELIR di TV1

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi slot Panggung Seri di TV1 pada 4 Ogos ini, pukul 9.00 malam bakal berkongsi tayangan sebuah drama berat bertajuk “Kelir” yang mengisahkan perjuangan dilakukan Rahman dalam mempertahankan tanah rizab Melayu yang cuba digadaikan demi kepentingan dan mengaut untung orang lain.

Menonjolkan sisi hidup pelakon Faizal Hussein sebagai pejuang kebenaran, drama arahan Haris Kadir ini turut dibintangi oleh Adi Putra, Shakilla Koriri, Hafeez Mikael, Joebot Maheran dan Ajak Achika.

Kisahnya berkembang atas rasa tanggungjawab terhadap mempertahankan tanah rezab Melayu di kampungnya, Rahman memberi ingatan kepada jemaah selagi dia hidup dia tidak mahu melihat ada penduduk kampung menerima tawaran yang dibuat oleh Badrul kerana kampung tersebut telah dibuka keturunannya. Rahman menganggap dia berhak bersuara. Ada yang setuju dan ada yang menentang dengan amaran Rahman. Begitu juga dengan  Luqman yang pulang bercuti semester jelas tidak bersetuju dengan pendirian Rahman.

Dalam waktu yang sama, Badrul telah berjumpa dengan seorang samseng di pekan iaitu Rahim. Badrul mahu mengupah Rahim menakut-nakutkan Rahman, bagaimanapun Rahim tidak mahu hanya mendapat bayaran tetapi menuntut haknya dalam projek berkenaan. Badrul membatalkan hasratnya kerana merasakan, jika dia tunaikan permintaan Rahim, dia sendiri tidak akan mendapat apa-apa bahagian.

Keesokan paginya, Rahman bersiap hendak ke pekan untuk berdepan dengan Badrul, lelaki yang menghantar orang untuk memukulnya. Isterinya, Hasnah cuba menghalang hasrat Rahman kerana dia tidak mahu keadaan menjadi bertambah kecoh. Hasnah memberitahu, dia ada mendengar beberapa orang telah bersuara tentang kisah silam Rahman tanda protes mereka terhadap amaran Rahman supaya tidak menjual tanah kepada Badrul. Bagaimanapun, bapa mertua Rahman iaitu Pak Mail hanya berdiam diri.

Faizal Hussein watak utama dalam Kelir di TV1

Rahman tegas dengan pendiriannya hendak berjumpa dengan Badrul tetapi saat dia melangkah turun, sekali lagi hasratnya terhalang dengan kehadiran Luqman. Luqman meluahkan rasa tidak hati dengan pendirian Rahman dan menganggap Rahman ketinggalan zaman. Pada Luqman, pelbagai pembangunan akan dikecapi sekiranya kawasan tersebut dimajukan. Bagaimanapun Luqman terdiam apabila Rahman memberitahu siapa di belakang Badrul. Sanggupkah Luqman yang terpelajar melihat Tanah Rezab Melayu dijual pada bangsa lain dengan menggunakan bangsa sendiri?

Di pekan, Badrul makin tertekan dengan apa yang berlaku dengan orang upahannya. Ketika itu juga, Leong menelefon dan ingin berjumpa dengan Badrul. Badrul bergegas berjumpa dengan Leong dan dalam waktu yang sama, Rahman ke pejabat Badrul. Di kampung, Luqman mendesak Hasnah untuk mendapatkan kepastian, tentang siapa Rahman yang sebenarnya dan apakah datuk nenek Rahman pada asalnya menjadikan kampung tersebut sebagai markas mereka.

Pertemuan Badrul dan Leong berlangsung di sebuah rumah agam milik Leong di pinggir kampung. Leong mendesak urusan pembelian dan pengambilan tanah disegerakan kerana rakan kongsinya di luar negara telah bising lantaran sudah lama projek berkenaan tertangguh. Rahman terkilan kerana gagal menemui Badrul. Bagaimanapun ketika dia melangkah keluar dari pejabat Badrul, dia terserempak dengan Badrul yang baru balik dari berjumpa dengan Leong.

Rahman memberi amaran kepada Badrul supaya tidak mengganggu penduduk kampung dan menyindir Badrul yang sanggup menggadai maruah bangsa kerana duit. Manakala Badrul pula menyindir yang Rahman adalah keturunan Komunis. Sindiran Badrul menyebabkan Rahman mengalami mimpi ngeri tentang kejadian 30 tahun lalu. Siapakah sebenarnya keluarga Rahman? Apa pula kaitan antara Rahman dengan Rahim yang mereka sendiri pun tidak ketahui?

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!