Filem HANTU KAK LIMAH Raih Kutipan RM1.8 Juta Hari Pertama Tayangan

Baru sahaja membuka tayangan di hari pertama semalam, filem Hantu Kak Limah (HKL) melakar dua rekod yang tersendiri. Filem arahan Mamat Khalid itu mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama yang menerima kutipan tertinggi iaitu lebih RM650 ribu di hari pembukaan “sneak preview” pada 8 Ogos.

Dan kedua, mengukir kejayaan berganda apabila kutipan mencecah RM1.8 juta pada hari pertama ianya ditayangkan kepada umum semalam (9 Ogos). Kutipan tersebut sekaligus merekodkan HKL sebagai filem yang menerima kutipan tertinggi di hari pembukaan.

Filem kerjasama Astro Shaw dan Infinitus Gold ini boleh ditonton di 133 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei. Manakala, di Singapura bermula hujung minggu ini. Filem  francais komedi seram yang diarahkan oleh Mamat Khalid ini menampilkan Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie, Mus May, Sharwani, TJ Isa, Jue Aziz serta penampilan istimewa Erra Fazira dan Dato’ Seri Vida.

HKL mengisahkan tentang misteri kematian Kak Limah selepas berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda darinya. Kampung Pisang menjadi riuh gara-gara orang kampung diganggu oleh hantu Kak Limah. Sementara itu, Husin dan rakannya melihat Kak Limah ada di rumah. Siapakah yang mereka temui sebenarnya? Mereka meminta bantuan Encik Solihin yang merupakan guru silat untuk memburu Kak Limah. Pelbagai insiden lucu yang berlaku pada penduduk Kampung Pisang sepanjang berdepan dengan Hantu Kak Limah.

URTV
News Reporter
error: Content is protected !!