“Berlumba Bukan Setakat Pandu Laju, Tapi Perlukan Kekuatan Minda Dan Fizikal” – NABILA RAZALI
Penyanyi popular, Nabila Razali akui rasa sangat gembira dan teruja walaupun hanya berjaya mendapat tempat ke-4 dalam Kelas Promotional (jemputan VIP dan selebriti) pada pusingan pertama Toyota Gazoo Racing musim kedua yang disertainya  di di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu baru-baru ini.

Nabila, 26, berkata dia tidak menyangka daripada tempat ke-9 pada perlumbaan pertama (Race 1), dia berjaya mendapat tempat ke-4 semasa perlumbaan kedua (Race 2) di pusingan pertama  perlumbaan yang dianjurkan oleh Toyota Malaysia itu.

“Alhamdulillah, saya rasa gembira sangat. Terkejut dan tak sangka akan berjaya mendapat tempat ke-4. Pada perlumbaan pertama (Race 1) yang mendapat tempat terakhir kerana kemalangan. Mungkin kerana terlalu teruja sehingga saya tersasar dan terbabas keluar dari litar.

“Tapi perlumbaan kedua (Race 2) saya sudah belajar daripada kesilapan sebelumnya. Saya tenangkan minda dan rileks. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat tempat ke-4 di perlumbaan kedua.

“Rasa happy sangat sebab daripada tempat terakhir (sembilan) saya berjaya mendapat tempat ke-4. Ini adalah pencapaian yang sangat baik bagi saya.

“Pengalaman pada perlumbaan pusingan pertama di Terengganu ini mengajar saya bahawa berlumba ini memerlukan kekuatan fizikal dan minda. Bukan setakat pandu laju sahaja.

“Saya tak sabar nak perbetulkan kesilapan yang saya lakukan di pusingan pertama ini di pusingan seterusnya di MAEPS, Serdang pada bulan Oktober nanti,” ujar Nabila.

Nabila tidak sabar untuk beraksi di pusingan seterusnya pada Oktober depan.

Tambahnya, sokongan daripada peminat dan keluarga yang hadir juga banyak membantu dia untuk melakukan yang terbaik dalam perlumbaan pusingan pertama itu.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua peminat dan keluarga yang hadir memberi sokongan di Terengganu. Kejayaan saya itu juga adalah disebabkan atas sokongan mereka yang memberi kekuatan untuk saya lakukan yang terbaik.

“Kepada peminat, jangan lupa datang memberi sokongan kepada saya dan selebriti lain di perlumbaan-perlumbaan seterusnya ya! ,” kata Nabila lagi.

Selain Nabila, barisan selebriti yang bersaing dalam pusingan pertama kategori Promotional (selebriti) Toyota Gazoo Racing musim kedua adalah Diana Danielle, Akim Ahmad, Janna Nick, Aiman Tino, Nabil Ahmad, Khai Bahar, Wany Hasrita dan Timbalan Pengerusi UMW Toyota, Akio Takeyama.

Pusingan kedua Toyota Gazoo Racing musim kedua akan berlangsung di MAEPS Serdang pada 19 hingga 21 Oktober 2018.

Manakala pusingan seterusnya pada 22 hingga 24 Februari 2019 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang dan pusingan akhir di Litar Antarabangsa Sepang pada 12 hingga 14 April 2019.

Foto: Instagram @nabila.razali

Tajul Ariffin
News Reporter
error: Content is protected !!